Thursday, November 30, 2006

Cicak!

"Cuk! Cuk! Cuk!" Cicak disyiling berdecuk. Berdecuk? Berdecik, berdicit, berdicut, ah persetankan!


Look! Its a plane! Its bird! No! Its... its.. its CicakMan!!!




Ya, ia bakal ditayang di panggung yang berdekatan. Atau sudah ditayangkan? Entah! Satu usaha yang aku kira sangat baik dalam industri perfileman negara. Syabas untuk Yusri. Kerana berani mencuba sesuatu yang baru. Aku harap ianya amat berbaloi. Pertama kali aku melihat gezzetnya aku sudah teruja. Ooo ooo CicakMan! Namun keterujaan aku hanya sebenter. Ya, sebenter. Aku tak salah eja harap maklum!

Dalam keterujaan aku itu terlintas satu fikiran nakal, takde binatang lainkah selain dari cicak? Kenapa cicak, binatang yang mendedahkan tempat persembunyian Nabi itu mahu dijadikan superhero? Binatang yang sunat hukumnya dibunuh pada setiap malam jumaat itu telah dinaik tarafkan. Kenapa? Tidak ada binatang lainkah?

Dulu dulu, masa kita kecil, kalau bermain bersama kawan kita akan berangan angan mahu menjadi superman, batman, otromen, gaban dan ntah apa apa lagi. Zaman kita remaja yang senja, anak anak buah kita mahu menjadi Power Rangers dan KluangMan. Zaman anak anak kita (aku) nanti, mahu jadi CicakMan! Aduss...

Setiap kali aku menonton gezzet itu, persoalan itu masih terus berlegar. Tiada binatang lainkah? Kan ke ada kala jengking, tebuan, rama rama, ulat gonggok, ulat bulu, lintah, pacat, kumbang, belalang, cakciboi, semut ipoh, semut merah, semut mayat, tungau, tapak sulaiman, kutu kepala, kutu kucing, landak, hatta, macam macam ada!

Namun jangan risau, aku tetap menyokong industri filem melayu. Untuk CicakMan, aku amat pasti akan membeli CD Pirate! Kenapa? Kerana aku masih tidak boleh menerima cicak menjadi hero. Cicak beb cicak!

"Cuk! Cuk! Cuk!"

"Eeiii aku gelilah!" kata kawan aku yang berambut panjang dan meminati muzik Punk dan Metal bila terlihat cicak.


Wednesday, November 29, 2006

Seekor Itik, Sebuah Bar

Adapun, seperti yang diceritakan ada seekor itik pada suatu hari ia memasuki sebuah bar. Mata mata mula memandang liar. Suara hiruk pikuk menjadi sunyi seketika tatkala melangkah masuknya seekor itik ke dalam sebuah bar. Tunduk lah itik itu, tiada dia mahu mendongak, berjalan maju menuju ke meja panjang yang di bawahnya berderet kerusi tinggi bulat. Maka duduk lah dia di salah satu kerusi itu dan memanggil pelayan bar mahu memesan sesuatu. Datanglah pelayan lelaki tersebut sambil mencuci gelas ke arah itik.

"Mahu apa?" tanya pelayan bar.

"Roti ada?" tanya itik.

"Mana ada roti?!" pelayan bar. Keras nadanya.

"Ooo ok ok." itik.

Duduk lah itik di situ pabila permintaannya tiada bersambut. Makanlah ia semangkuk kacang yang terhidang. 30 minit berlalu, dipanggil lagi pelayan lelaki tadi.

"Mahu apa?" tanya pelayan lelaki tadi setiba dia di hadapan itik. Sedikit jelak lagaknya.

"Err, roti ada?" tanya itik, sedikit gentar.

"Takde!" tegas pelayan itu.

"Ok ok takpe." itik.

Maka berlalu pergi pelayan tadi meninggal itik tersebut. Dijeling jelingnya itik itu kadang kadang. Habis kacang, di tambah lagi maka makanlah ia itik itu dengan perlahan lahan. Sejam telah berlalu. Itik itu memanggil semula pelayan bar tadi.

"Mahu apa kau?!" tanya pelayan sedikit bengang.

"Roti ada?" tanya itik penuh pengharapan.

"Takdelah bodoh! Lagi sekali kau tanya pasal roti, aku paku kau kat dinding tahu!" marah pelayan bar itu.

Maka terkedulah itik. Hasratnya mahu merasa roti masih tidak kesampaian. Maka tinggallah ia di situ mengunyah kacang perlahan lahan. Sebiji demi sebiji demi sebiji demi sebiji, tanpa disedari 5 jam sudah berlalu. Di jelingnya pelayan tadi yang sedang bergelak ketawa bersama beberapa orang pelanggan. Lalu dipanggilnya kembali pelayan itu.

"Ya?" tanya pelayan itu setelah menghampiri itik. Seakan akan telah lupa pada amarahnya.

"Paku ada?" tanya itik.

"Pelayan menjadi terkejut. Sedikit pelik dengan pertanyaan itik itu lalu dia menjawab, "Paku? Mana ada paku?!"

"Roti ada?!"

Tuesday, November 28, 2006

Untukmu

26.11.2006

Adalah tarikh keramat. Satu tarikh di mana aku dan Queen bergelar suami isteri 2 tahun lalu. Hari itu, ahad. Selesai mandi pagi. Aku kaget bila terlihat bungkusan di atas meja solek. Satu paper bag, di dalamnya ada sekeping kad dan setin biskut fames amos.

Ah, aku tidak langsung membelikannya sebarang hadiah pun. Hatta sekeping kad pun tiada. Sambil membaca kata kata yang membelai perasaan perlahan lahan hati aku memohon maaf. Maaf kerana tiada pemberian utnuk hari yang istimewa ini. Bukan aku terlupa, sama sekali tidak. Sebabnya, engkau lebih memahami.

Selesai memakai baju, aku turun. Menuju ke dapur. Terlihat si dia sedang menyiapkan sarapan. Aku peluk dan cium pipinya tanda terima kasih.

Lewat petang,

"Bi, tidak ada sajakkah?" tanya Queen.

"Emm takde ide la." aku. Sungguh! Bukan aku terlupa, tidak. Namun aku betul betul tiada ide. Sebelum tarikh itu tiba aku sudah merangka rangka ayat. Semua tidak kena. Lalu pagi ini Allah itu maha berkuasa amat! Perlahan lahan ide itu datang. Satu demi satu. Maka terimalah pemberian yang tidak seberapa ini yang datang dari hati serang suami yang ikhlas. Buat ulangtahun kita yang kedua. Semoga kita kekal selamanya. Maaf kerana maharaja ini tiada termampu menyaluti zahirmu dengan kemewahan dunia seperti layaknya. Maaf. Aku sedang berusaha mengubah suasana hidup kita. InsyaAllah, ketika itu kan ku cari padanan yang sesuai dengan senyummu. :)


Untukmu

untukmu
ku alirkan selautan kasih
yang tiada surutnya
setiap purnama

untukmu
ku layarkan bahtera
yang tiada resah
meredah gelora

untukmu
tulus kerinduan
selayak permaisuri
tiada berbelah bagi

dan kita hiasi awangan
dengan memori
kita ajarkan pada tiung
segala melodi

kukuhkan kota dihatimu itu
selagi ada nafas kurniaan tuhan
selamanya itu kan mekar
pun begitu
bila airmata mengiringi
cinta untuk kita sentiasa ada

untukmu
ku hadiahkan cinta yang terbaik


Saturday, November 25, 2006

Hikayat Merong Mahawangsa Bah 3

Adapun si Geruda setelah dipastikan angkatan dibawahnya itu adalah dari kerajaan Rum maka menjadi amat marahlah ia lalu ia datang menyambar. Raja Merong Mahawangsa menarik busur anak panahnya yang bernama Ayun Ayunan itu ke udara. Bergemuruhlah bunyinya bagai halilintar membelah angkasa. Maka segala jenis meriam di atas bahtera jua habis di halakan kepada Geruda, namun sedikit tidak memberi apa kepadanya. Lalu Geruda membalasnya dengan mendatangkan guruh, hujan, angin, ribut dari sebelah selatan menghala ke utara. Demi melihat kesaktian Geruda, Raja Merong Mahawangsa mengambil panahnya yang bernama Ayun Ayunan yang hujungnya merah seperti api dan dilepaskan ke arah ribut yang mendatang. Lalu terpaculah gunung menahan ribut yang diterbitkan oleh Geruda itu. Larilah burung Geruda itu setelah berjaya merosak 3 buah bahtera, saat itu malam pun tiba.

Keesokan harinya, setelah dipastikan tiada kehadiran Geruda itu, maka belayarlah bahtera yang tinggal hingga sampai ke Kuala Tawai. Dengan tiada semena mena muncullah Geruda itu dengan ribut dan taufan, kilat sabung menyabung. Maka Raja Merong Mahawangsa pun mengambil panahnya yang bernama Berana Pura itu, bernyala nyala api dihujungnya dan dilepaskan ke udara. Maka bergemuruhlah bunyi menerbangkan segala hujan, ribut dan taufan. Dan terlihat Geruda sudah membinasakan 3 lagi bahtera di dalam kelam kabut itu. Dan segeralah Raja Merong Mahawangsa itu memanah sekali lagi menggunakan Berana Pura itu. Maka bergemuruhlah angkasa dibelah anak panah yang menuju ke arah Geruda. Demi dilihat oleh Geruda, maka ia pun mengibaskan sayapnya maka jatuhlah anak panah itu ke dalam laut. Lalu dengan pantas ia menyerang hingga rosak binasa enam buah bahtera lagi. Dan larilah Geruda itu setelah diamati sukarnya membinasakan seluruh angkatan Raja Rum itu.

Maka belayarlah semula angkatan kerajaan Rum itu hingga tiba ke laut Kuala Parit. Setiba di situ, datanglah Geruda itu sekali lagi menyerang. Dan seballah hati Raja Merong Mahawangsa. Lalu dicapai panahnya yang bernama Pusar Sempani Gembira dan dilepaskannya ke angkasa. Seketika muncullah hantu syaitan datang menyerang Geruda itu. Tahulah Geruda itu panah yang dilepaskan bernama Pusar Sempani Gembira. Lalu dikirai kiraikan dengan sayapnya dan menerkam ke arah angkatan Raja Rum dan menyambar tiga kapal kecil dan menghambat hantu syaitan. Manakala segala bedilan meriam dan panah yang datang ibarat hujan lebat sahajalah bila mengenai Geruda. Sedikit tidak memberi kesan. Geruda itu pun menempik dengan azamatnya hingga hilang sekelian hantu syaitan.

Marahlah Raja Merng Mahawangsa melihat hal yang sedemikian. Lalu dibalasnya dengan satu lagi anak panah dan munculah Jentayu menghambat Geruda itu. Maka berlawanlah keduanya menyambar dengan paruh, berkibar kibaran dengan sayapnya, terlalu amat dahanam gemuruh bunyinya. Terlalu hairanlah sekelian yang melihat. Maka disemburlah oleh Geruda dari mulutnya api yang bernyala nyala dan terbakarlah Jentayu lalu hilang. Hingga malam jualah pertarungan itu dan Geruda pun beredar kepenatan.

Setelah berhari hari berlalu, maka belayarlah mereka kembali hingga ke Kuala Murib. Setelah lama kelihatanlah Pulau Salang. Maka tinggalah angkatan Raja Merong Mahawangsa mengambil air, sedang angkatan anak Raja Rum terus menuju hingga ke Tanjung Hujung Salang dan akhirnya tiba di Pulau Langkapuri. Dan terlihatlah oleh Geruda kedatangan angkatan tersebut. Datanglah ia dengan ribut taufan menyerang angkatan tersebut. Habis karamlah segala kapal yang ada. Tiada satu kapal hatta yang kecil sekalipun yang tinggal. Gembiralah Geruda itu sangkanya pasti matilah anak si Raja Rum itu. Maka ia pun terbanglah menjauh.

Hatta angkatan Raja Merong Mahawangsa menurut angkatan Raja Rum jauh dari belakang. Terkejutlah baginda melihat keadaan rosak binasa itu. Lalu diselamatkan yang masih hidup. Di cari anak Raja Rum merata tiadalah berjumpa. Belayarlah baginda ke timur hingga sampai ke Pulau Jambul yang di diami kaum gergasi. Lalu dibinalah kota parit di situ. Dan di binalah istana dengan balainya yang terlalu amat besar indahnya dan diberi nama Langkasuka. Maka duduklah Raja Merong Mahawangsa di situ sambil mencari cari anak Raja Rum. Hingga mashyurlah baginda di situ, ramailah rakyat jelata berpindah ke situ dari bulan ke bulan tahun ke tahun memerintahlah baginda dengan adil dan saksama.

Tersebutlah kisah si anak Raja Rum itu, yang bergantung di atas papan yang sekeping. Tiada makan dan minum berhari hari lamanya hingga kurus kering tubuhnya hingga di hinggap kapang dan keritip di seluruh badannya. Di bawalah dia oleh ombak hingga jatuh di celah batu di pantai Pulau Langkapuri dengan letih lesu dan lapar dahaganya.

Tiadalah Geruda ketika itu kerana ia sedang mencari makan. Lalu turunlah Puteri Benua China bersama dayangnya ke tepi laut mencari ketam lalu terjumpalah dengan anak Raja Rum. Lalu jatuh kasihanlah si Puteri Benua China lalu di selamatkan anak Raja Rum itu dan disorokkan dia di dalam sebuah gua demi mengelak dari diketahui oleh Geruda. Hari demi hari bulan demi bulan di jaga baiklah anak Raja Rum oleh si Puteri bersama dayangnya, maka sihat segar kembali dia, setelah itu demi melihat sesama sendiri maka jatuh cintalah keduanya. Setelah diketahui latar belakang masing masing maka makin erat lagilah lakunya.

Pada suatu hari, maka terbanglah Geruda sampai mengaras awan menuju kepada tempat Nabi Allah Sulaiman.

“Hai burung Geruda, apa khabarnya janji yang telah engkau katakan. Dapatkah engkau melaksanakannya?” Sabda nabi Allah Sulaiman.

“Ya Nabi Allah sudalah hambamu ini kerjakan.” Sembah Geruda.

Lalu diceritakan kepada baginda perihal bagaimana ia menculik Puteri Benua China hingga ia bertarung dengan Raja Merong Mahawangsa dan akhirnya membunuh anak Raja Rum itu. Maka tertawalah Nabi Allah Sulaman mendengar cerita itu.

“Kalau kalau mereka masih hidup bagaimana?” tanya Nabi Allah Sulaiman.

“Jikalau hidup anak Raja Rum itu dan bertemu dengan Puteri Benua China, hamba akan mengotakan janji hamba. Tiadalah hamba berani berdusta kepada Nabi Allah.” Sembah Geruda.

Nabi Allah Sulaiman tersenyum mendengarnya. Lalu diperintahkan kepada raja jin Harman Shah supaya membawa kesemua mereka ke dalam sebuah peti untuk di bawa mengadap di hadapannya. Lalu berangkatlah Harman Shah bersama 100 menterinya melaksanakan perintah Nabi Allah Sulaiman. Di masukkan Puteri Benua China bersama dayangnya disertai dengan anak Raja Rum ke dalam peti lalu di bawa mengadap Baginda Nabi Allah Sulaiman.

Nabi Allah Sulaiman menurunkan perintah supaya keluarlah kesemua yang di dalam peti itu. Maka keluarlah kesemuanya sambil menundukkan kepala dan duduk menyembah kepada Nabi Allah Sulaiman.

“Hai Geruda, siapakah lelaki ini?” tanya Nabi Allah Sulaiman sambil menunjuk ke arah anak Raja Rum.

Maka dengan itu, gentarlah Geruda kepada Nabi Allah Sulaiman serta malunya ia tiada terperi lagi. Lalu bersabdalah nabi Allah Sulaiman,

“Hai segala raja raja dan menteriku bangsa yang baik baik, hendaklah engkau dan kamu sekelian ketahui demi tuhanku yang menjadikan aku dan kamu sekelian di dalam empat perkara itu janganlah sekali kali ditentukan, jikalau tiada dengan janji daripada tuhan sekelian alam.

Pertama rezeki, sedikit atau banyak pada sehari semalam itu tiadalah segala makhluk hendak tentukan, sekelian dengan janjiNya juga.

Kedua perkara yang memutuskan rezekinya, seperti yang akan datang mara atau maut , hendak itu pun tiadalah boleh seseorang jua pun daripada makhlukNya hendak mengetahuikan dia dan hendaklah jangan kamu tentukan bumi tempat kematiannya, melainkan kesudahannya dengan janji Allah jua.

Ketiga, perkara jodoh pertemuan sesuatu makhlukNya, jikalau berhimpun seisi alam dunia ini daripada segala bangsa yang di jadikan Allah taala, hendak menceraikan, tiada dapat menceraikan melainkan dengan kehendakNya jua.

Keempat, perkara penceraian yang sudah sampai waktu, saat harinya, tiada akan dapat hendak menantikan esok harinya, tiadalah boleh melainkan dengan sekelian itu pun dengan janjiNya jua.”

Lalu datang menyembahlah Geruda meminta keampunan kepada Nabi Allah Sulaiman. Dan diperintahkan oleh Baginda kepada Geruda supaya berpergian ke tempat yang jauh daripada manusia. Diperintahkan kepada Geruda utnuk menetap di laut yang bernama Kalzum yang tiada akan dihampiri manusia. Maka terbanglah ia ke situ.

Nabi Allah Sulaiman kemudiannya memerintahkan dibuat suatu surat di dalam bahasa cina menceritakan segalanya yang telah berlaku. Diperintahkan juga untuk menyampaikan berita kepada Raja Rum supaya dapat dipanggil kembali Raja Merong Mahawangsa. Sesudah itu nabi Allah memerintahkan raja jin Harman Shah supaya membawa seribu tentera menghantar kembali Puteri Benua China bersama tiga dayangnya dan anak Raja Rum ke Benua China untuk dikahwin sebaimana layaknya.

Sekian

Cerita asal sebanyak 24 m/s.
P/s : Indera, saya mahu baca Hikayat Raja Bersiung versi saudara pula ya?

Wednesday, November 22, 2006

Hikayat Merong Mahawangsa Bah 2

Versi ini saya petik dari kitab Hikayat Merong Mahawangsa milik saya. Ianya adalah versi RJ Wilkinson. Perlu diketahui, saya telah mengolah sedikit gaya bahasa demi untuk anda, pembaca mudah memahaminya walaupun sebenarnya ianya lebih sedap dibaca dalam konteks bahasa yang asal yakni gaya bahasa melayu lama. Dan saya ringkaskan cerita ini agar tidak meleret dan menimbulkan kebosanan kepada kalian. Selamat membaca!

Pada zaman dahulukala, yakni semasa zaman pemerintahan Nabi Allah Sulaiman, terdapat satu pulau yang dipanggil Pulau Langkapuri yang didiami oleh seekor Geruda yang asalnya dari cucu Maharaja Dewata. Banyaklah kesaktian yang terdapat pada burung Geruda ini dan digeruni setiap makhluk yang terbang dan melata di bumi. Maka pada suatu hari, datanglah seekor burung Rajawali menemui burung Geruda itu.

"Adakah tuan hamba beroleh khabar bahawasanya Raja Rum itu beroleh seorang anak laki laki? Sekarang ini ia hendak meminang anak Raja Benua China.” Kata burung Rajawali.

“Dari mana engkau memperolehi khabar ini?” soal Geruda.

“Hamba beroleh khabar ini daripada Kakaktua, dia yang melihat utusan dari Benua Rum menuju ke Benua China.” Jelas Rajawali.

“Ini sesuatu yang mustahil. Nantilah, aku mengadap Nabi Allah Sulaiman untuk membatalkan perkara ini.” Kata Geruda.

Maka terbanglah Geruda itu mengaras awan dan berasaplah seketika dunia ini. Dan sampailah ia di hadapan Nabi Allah Sulaiman.

“Ya Nabi Allah, hamba dengar khabarnya Raja Rum mahu menikahkan Puteranya dengan Puteri dari Benua China. Namun pada fikiran hamba ianya bukanlah jodoh yang sesuai.” Sembah Geruda.

“Hai Geruda, demi tuhan yang menjadikan aku, adapun jodoh pertemuan itu samaada di dalam batu atau kayu sekalipun, tiada siapa yang dapat menceraikkannya.” Sabda Nabi Allah Sulaiman.

“Ya Nabi Allah, izinkan sahaja hamba melakukannya. Sekiranya hamba gagal menceraikan keduanya, maka undurlah hamba daripada bawah lagit dan atas bumi daerah tempat kediaman segala manusia.” Sembah Geruda.

Maka dengan melihat kedegilan Geruda itu, Nabi Allah Sulaiman mengizinkan dan mempersetujui syarat yang Geruda sendiri utarakan. Setelah mendapat keizinan dari Baginda, terbanglah Geruda ke Benua China. Hatta setelah sekian lamanya ia terbang, maka sampailah ia ke Benua China dan dilihatnya segala persiapan dan nyata benarlah seperti yang di khabarkan kepadanya. Terlihat ia sang Puteri sedang duduk di taman, lalu disambarnya tuan puteri bersama dengan tiga orang dayang dan di bawa ke Pulau Langkapuri. Dan di simpan mereka di dalam sebuah mahligai.

Perihal Raja Rum, sedang itu baginda dihadapai oleh segala raja , menteri para pengawal, hulubalang, sida sida, bentara dan biduanda sekelian penuh sesak di balai paseban agung, bermesyuarat tentang penghantaran anak baginda ke Benua China untuk dikahwinkan. Dan diam di dalam kelompok raja raja yang hadir, sahabat baginda Raja Rum itu yang bernama Raja Merong Mahawangsa.

“Hai saudara hamba, hendaklah saudara pergi ke Benua China menggantikan hamba membawa Putera kita untuk dikahwinkan.” Titah Baginda Raja Rum.

“Baiklah tuanku, barang yang dititahkan itu, patik laksanakan tuanku.” Sembah Raja Merong Mahawangsa.

Maka belayarlah sekelian anak menteri, pengawal, hulubalang dan 40 anak raja raja di dalam satu bahtera yang besar. Sedang Raja Merong Mahawangsa di dalam satu bahtera yang lainnya. Bertaburanlah bahtera, kapal kapal dan perahu kecil hingga memenuhi laut menuju ke Benua China.

Setelah sekian lama mereka belayar, maka sampailah ke laut Kuala Changgung yang diperintah oleh seorang raja bernama Raja Kelinggi. Sedang belayar itu maka dengan tiba tiba gelaplah matahari. Datanglah kelam kabut ribut petir guruh dengan hebat dahsyat. Bagaikan sepohon angin rbut yang besar rupanya. Maka Raja Merong Mahawangsa pun segera menyiasat sambil memegang senjatanya.Terlihat olehnya yang datang itu bukanlah ribut taufan tetapi hanyalah seekor burung Geruda.

bersambung...