Wednesday, January 31, 2007

Ubat Gigi

"Bang, nak beli Colgate Darlie." pinta seorang kanak kanak yang aku jangka berusia dalam 8 ke 9 tahun.

Permintaan dia membawa kejutan budaya kepada aku dan abang kedai itu. Walaupun urusan ku telah selesai. Namun aku tertarik mahu melihat adegan seterusnya. Kendatipun aku sudah dapat mengagak apakah yang dimahu oleh budak itu, namun hati aku tertarik untuk menyaksikan drama yang jarang jarang berlaku ini.

"Kau mahu Colgate ke Darlie?" soal abang kedai. Minta kepastian.

"Colgate Darlie." tegas budak itu.

"Isk mana satu ni? Colgate ke Darlie?" tanya abang kedai lagi.

"Colgate Darlie!" tegas budak itu lagi.

Abang kedai memandang wajah aku. Dia hanya tersenyum. Aku membalas senyumannya. Jika abang itu seorang kakak sudah tentu lebih manis senyuman itu. Abang kedai berlalu pergi ke celah celah rak yang tersusun di dalam kedainya. Seketika kemudian dia muncul sambil di tangan kanannya memegang Colgate dan di tangan kiri memegang Darlie.

"Nah! Pilih mana satu kau nak?" kata abang kedai.

Pantas, budak itu mengambil ubat gigi Darlie. Aku dan abang kedai gelak serentak. Secara naluri kami faham benar apa yang menjadi kelucuan. Dan aku terus keluar dari kedai itu. Di atas motor minda aku menafsir kembali kelucuan itu; Colgate = ubat gigi. Colgate Darlie = ubat gigi Darlie! Bersama deruan enjin motor, aku ketawa gelihati.

Tuesday, January 30, 2007

Jeritan

jeritanku (agaknya) terlalu kuat
bagi mengejutkan
seribu daya kebangkitan
atau mungkin (terlalu) perlahan

kedengkelan lenamu itu
keruh dengkurnya membingitkan alam
bangunlah! hering sedang mengelilingi kita

lalu ku simbah petrol ke atas tubuhmu
(ke atas lenamu)

"mancis mana mancis?"

P/s: Entah mengapa, aku tak berminat untuk menulis ceritera seminggu ini. Fikiran aku lebih tertumpu kepada sajak. Sementelah dengan pelbagai isu yang meruap ke muka, macam macam ide timbul di fikiran aku. Ada ke yang rindu untuk membaca tulisan tulisan aku yang tulus bercerita? Kalau ada, kau tidak keseorangan. Aku pun merinduinya. Tengoklah, selesai tugas untuk DBP nanti mungkin aku akan kembali normal he he he.

Sunday, January 28, 2007

Terbang

Di atas permintaan El, maka terimalah nukilan yang tidak seberapa ini. Jika ada salah silap maaf, saya tidak pandai. Terimalah dengan seadanya, dari saya untuk anda semua sebuah sajak yang bertajuk "Terbang".


aku mahu terbang
bukan dengan sayap sepertimu burung
tapi seperti dia
dengan jimat cermat
jerih perih nelayan

aku mahu rentas
lautan tenang kebiruan
bukan selam sepertimu paus
tapi dengan layar seperti dia
hadiah dari dosa dan haloba

itu pun,
jika aku ini menteri
itu pun,
jika aku sudah buta

aku mahu terbang
bukan sepertimu unggas
tapi seperti dia
dengan penafian
kemelaratan marhaen

Anak Bapak

Oooo, inilah yang dikatakan bapak borek anak rintik ya?


P/s: Perhatian, gaya yang ditonjolkan ini bukan kerana saya meminati Lanrambai ya. Harap maklum. Sekian terima kasih. Oh ya, hari tu ada seorang peminat saya meminta saya menghasilkan satu nukilan. Tunggu esok ya, dah siap dah. Esok saya paparkan. :D

Saturday, January 27, 2007

Sub Judice?

Sebagai tanda sokongan untuk Rocky's and Jeff Ooi. Cerita Lanjut. Lagi Cerita Lanjut.

Pemilik blog tidak ‘kalis’ undang-undang

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak berpendapat tindakan undang-undang terhadap pengendali laman forum atau blog di internet, tidak akan menjejaskan hak kebebasan bersuara atau bermaklumat di negara ini.

Mereka berpendapat, tindakan itu malah dapat membantu memastikan pengendali laman forum atau blog supaya lebih bertanggungjawab terhadap kandungan bahan yang disiarkan bagi mengelak sebarang implikasi negatif.

Ia berikutan tindakan pengendali blog yang menyebarkan fitnah tanpa bukti kukuh boleh memberi implikasi negatif besar bukan saja kepada individu atau sesebuah organisasi, tetapi juga negara.

Presiden Majlis Peguam
Malaysia, Yeo Yang Poh, berkata sebarang bentuk sebaran fitnah sama ada dari segi percakapan atau penulisan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Hasutan.

Beliau berkata, mangsa yang difitnah sendiri perlu membuktikan bahawa sebaran terbabit mempunyai unsur fitnah sebelum proses pendakwaan di mahkamah boleh dibuat.

Presiden Persatuan Peguam Syarie
Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar, berkata tindakan undang-undang terhadap pengendali laman forum atau blog boleh dibuat kerana kebebasan bersuara bukan sesuatu yang mutlak dan perlu mempunyai had.

“Jika kebebasan bersuara sehingga menafikan hak orang lain, itu tidak betul dan dalam Islam sendiri, kesalahan memfitnah itu adalah lebih berat daripada membunuh,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata pemilik laman forum atau blog tidak bebas daripada dikenakan tindakan undang-undang serta harus bertanggungjawab terhadap apa yang mereka lakukan.

Perdana Menteri berkata, walaupun kerajaan berpegang kepada dasar tidak menapis kandungan di internet, pengendali blog harus memahami ada undang-undang fitnah dan hasutan yang boleh dikuatkuasakan.

“Mereka tidak boleh menyembunyikan diri atau mengambil kesempatan melakukan sesuatu melanggar undang-undang. Mereka harus tahu dan tidak boleh melindungi serta berharap dilindungi dengan perlindungan tertentu.

Abdullah berkata, media sama ada cetak, elektronik dan internet termasuk pemilik laman blog mempunyai tanggungjawab dan beliau tidak mahu wujud kebebasan tanpa tanggungjawab kerana ia akan membawa kehancuran.

Perdana Menteri berkata demikian mengulas tindakan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) dan pegawai kanannya memfailkan saman fitnah terhadap Ahirudin Attan dan Ooi Chuan Aun berhubung beberapa artikel dalam laman blog mereka.

NSTP dan plaintif lain – Timbalan Pengerusinya, Datuk Kalimullah Hassan; Ketua Eksekutif, Datuk Syed Faisal Albar; Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Hishamuddin Aun dan bekas Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Brendan Pereira, memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 4 Januari lalu.

Mengikut laporan akhbar, kedua-dua saman fitnah itu dikemukakan berhubung beberapa artikel dan komen yang disiarkan atau dibenarkan untuk disiarkan oleh Ahirudin dan Ooi dalam laman blog masing-masing.

Sementara itu, seorang peguam, Hasnal Rezua Merican berkata, pengendali blog tidak boleh berpendirian bahawa mereka beroperasi dengan mendapat kebebasan mutlak tanpa mengendahkan undang-undang negara.

“Ia sama dengan penulis buku yang masih tertakluk kepada Akta Fitnah. Ini tidak bermakna, kalau disaman kerana melanggar undang-undang mreka boleh mempertikaikan kononnya ia melanggar hak kebebasan bersuara,” katanya.

Beliau berkata, kalau pengendali blog meminta imuniti seperti itu atas nama kebebasan bersuara, ia boleh menyebabkan penyebaran fitnah berleluasa seterusnya mencetus pelbagai masalah.