Wednesday, March 26, 2008

Epik Si Tua



terima kasih
kepada si tua yang berhajat
kerana dengan lenggok kami bisa lihat
saki baki pahala yang berguguran
dan malaikat di kiri itu memohon
sedozen lagi pena.

terima kasih
kepada si anak yang bersorak
kerana dengan teriak riangnya
tersentak di jiwa kami
hentakan benci menerjah ke dinding iman

terima kasih
terima kasih
terima kasih

kerana memberi risau
dibalut takut
saat mata ini bertentang
jernih matanya anak memandang kosong
luas dunia

Monday, March 24, 2008

Trias Politica

Trias Politica adalah satu doktrin pengasingan kuasa yang berkonsep memisahkan di antara tiga badan utama iaitu Eksekutif, Legislatif dan Judikatif. Konsep ini merupakan ide pokok kepada asas pemerintahan sistem Demokrasi Barat yang juga banyak diamalkan di negara negara luar dan Malaysia adalah salah satu contohnya.

ide ini mula berkembang di Eropah pada abad ke 17 dan 18 Masihi. Trias Politica adalah anggapan bahawa kekuasan negara terdiri dari tiga tonggak kuasa yang utama iaitu :

1. Legislatif : yang membuat undang undang
2. Eksekutif : yang melaksanakan undang undang
3. Judikatif : yang mengadili/membicarakan undang undang

Di dalam Trias Politica, ketiga tiga tonggak kuasa ini tidak dibenarkan dipegang oleh hanya satu pihak bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa oleh mereka yang memerintah. Konsep ini pertama kali dikemukan oleh John Locke (1632-1704) dan Montesquieu (1689-1755). John Locke merupakan seorang ahli falsafah Inggeris yang telah mengemukakan konsep ini didalam bukunya Two Treaties on Civil Government (1690) yang ditulisnya sebagai kritikan terhadap kekuasan mutlak raja raja Stuart di Britain serta untuk membenarkan berlakunya Revolusi Gemilang pada tahun 1688 yang dimenangi oleh Parlimen Inggeris.

Locke berpendapat, 3 tonggak kuasa tadi harus dipisahkan antara satu sama lain, yakni tidak dipegang oleh seorang pemerintah sahaja. Selanjutnya pada 1748, ahli falsafah perancis, Montesquieu mengembangkan konsep ini dengan lebih jauh di dalam bukunya The spirit of Laws yang ditulisnya setelah beliau melihat depotisme raja raja Bourbon di Perancis. Beliau berpendapat bahawa seseorang akan cenderung untuk mendominasi kekuasan dan merosakkan keamanan masyarakat bila kekuasan terpusat ditangannya.

Demikian serba ringkas sejarah tentang sistem pemerintahan demokrasi yang diamalkan hari ini. Dan di dalam sistem ini, secara amnya merujuk bahawa tonggak utama yang menentukan kekuasaan eksekutif, Legislatif dan Judikatif adalah terletak di tangan rakyat dan bukan parti pemerintahan. Hanya di Malaysia sahaja ketiga tiga tonggak kuasa ini dibawah satu pihak pemerintahan. Disebabkan itulah kita dapat lihat, dalam arena politik amnya yang memmpunyai contoh paling jelas, keterangan pihak pembangkang tidak didedahkan malah media masssa dengan mudah memutarbelitkan satu satu kenyataan tanpa dapat rakyat menimbangi perkara yang sebenar. Walhal, dinegara barat, hak hak yang sama diberikan sama rata samaada kepada pihak pro atau pembangkang, jika pro berhak memdapat liputan media maka pihak pembangkang pun juga. Tidak ada birokrasi tidak ada prejudis. Sebab itu di negara barat, keputusan sesuatu undang undang ditentukan oleh rakyat bukan dari pemerintah.

Dan sistem kehakiman juga yakni Eksekutif dan Judikatif, juga terpisah antara satu sama lain, sebab itu kita lihat Bill clinton boleh didakwa kerana beliau tidak ada kuasa dalam 3 tonggak utama ini. Berbeza dengan Malaysia, dimana ia dikuasi dan dikawal oelh stau tangan sahaja.

Walau bagaiamnapun, sistem demokrasi bukan datang dari Islam. Asal ia datang dari manusia maka banyaklah kepincangannya. Allah telah menetapkan undang undangNya sendiri untuk kebaikan manusia, dan wajarkah, kita sebagai hambaNya menolak mentah mentah apa yang telah Dia tetapkan? Dan apa hukumnya kepada kita, bila reda dengan sikap pemerintahan yang mengaku Islam tetapi mempersendakan, memperlekehkan dan mengambil ringan tentang undang undangNya? Fikir fikirkanlah.

p/s : dengar dengar dorang nak bersemuka dengan bloggers ya? Bila ek?

Monday, March 17, 2008

Papa?!

Sudah menjadi lazim, tugas memandikan Adib, dilakukan oleh aku. Sudah menjadi lazim juga memakaikan baju selepas Adib mandi dilakukan oleh Queen. Ini kerana jika Queen memandikan Adib, dia akan lebih banyak songeh. Dan jika aku yang memakaikan bajunya, dia akan meronta ronta meminta ibunya melakukannya.

Suatu hari, seperti hari hari yang sebelumnya, aku memandikan Adib. Kali ini istimewa, pertama kali aku mengajarkannya menggunakan sabun. Selesai gosok gigi, aku memicit sabun Johnson's Kid Head-To-Toe Body Wash ke tapak tangan Adib.

"Ok, sabun badan" arah aku.

Dan Adib pun menyapu sabun tersebut ke badannya. Seronok dia tengok buih sementara aku menggosok bahagian belakangnya.

"Ok sabun tangan" arah aku lagi. Dan Adib melakukannya dnegan girang. "Papa?!" tanya dia.

"ok papa buat." dan aku pun sabunkan tangan aku.

"Ok, sabun onek." arah aku lagi. Dan dia pun melakukan lagi. Dengan gembira.

"Papa?!"

"isk papa takyah la."

Papa?!"

"Papa takyahlah..."

"PAPA?!"

"PAPA TAKYAHLAH! ISK BUDAK INI!"

Thursday, March 13, 2008

Ek eleh!

Tahniah sekali lagi kepada parti pembangkang di atas kemenangan yang sangat mengejutkan Datuk Z.

Oh maaf. Aku tidak sengaja mahu bersikap kurang ajar. Al fatihah untuk belioau dan takziah untuk keluarga beliau. katanya Pandamaran jatuh ke tangan PKR ek?

Oh ya, pesanan keras untuk pembangkang, jangan leka. jangan besar kepala dan jangan cepat lupa diri. Ingat, kita dalam pemerhatian mata mata yang sundal itu.

Aku tengok berita 2 hari lepas. Aku rasa cukup tercabar dengan kata kata Hishammuddin. Katanya "ini dah dapat kuasa memerintah, jangan lupa diri. tunaikan segala janji janji kamu kepada rakyat!"

Ek eleh! Apa? masa kau dulu memerintah macam lah kau tunai segala janji janji kepada rakyat?! Poodah!!!

Satu lagi kawan aku bagitau katanya dalam Selamat Pagi Malaya, ada orang kata pengundi sedang memikir betul ke apa yang kau undi ni?

Ek eleh! Kau tak tahu yang pengundi pengundi semua bersorak keriangan dan menjerit "Padan Muka!"

Sengaja cari pasal. Sudah kalah duduk diam diam. Bagi peluang kepada pembangkang untuk mentadbir. tak puas hati boleh lawan lagi 5 tahun.

Kepada pembangakang, ingat! Mesti dapat nombor satu! Bak kata Rudy, kalau pembangkang pun hanyut kita undi yang lain pula di PRU 13!

ha ha. Peace.

Saturday, March 08, 2008

Laga, konon

Ucapkan tahniah kepada diri anda yang telah celik hatinya menentang kekeraan yang bermaharajalela di belantara ini. Ucapkan tahniah kepada mereka yang berjuang dan mempertaruhkan keramat kita semua dan jati diri. Lemparkan tahniah kita kepada mereka yang dahulu memperjudikan amanah kita, lemparkan! Biar menjadi sekalung takziah di satu perkuburan di puncak gunung.

Namun jangan kita lekas berbangga diri, lekas berpuas hati dan lekas mengulit keselesaan. ini adalah satu tiket perjalanan yang baru kita jejaki hanya satu stesen. Teruskan mara, teruskan tekad dan nekad, teruskan usaha kuasa adalah milik kita bukan milik mereka.

Nah, di gelanggang ini, ayam sabung mereka ternyata hanya gah pada balung dan ekor. Katakan pada mereka taji itu perlu diasah sebelum bertarung. Ini gelanggang sabung bukan gelanggangnya untuk serama yang kau kendong.

Berdikit dikit kita mendaki perlahan lahan, sampai jua nanti ke puncak bukit. Ingat pesan Yaseer, "Walau sekuat mana badai melanda tidak akan berganjak gunung yang dirempuh."

Tahniah!

Laga, konon
konon jalak taji beracun
konon kena, keramat kematu
jadinya lagak sayup jatuh
sesaat
dan bukan lawan yang ada lawan
setanding tidak pun satu
konon!

gah sanjung kemenangan
sedang bukan perang terakhir dijilid
masih berbaki ribuan mata
serampang sengketa nanti seruan

mana bisa?
taji beracun tidak berasah pernah
tidak pernah memamah jua
sekati daging diri
semua konon seragam lakon

mari berpencak
jantan selagak lakunya
biar tumpah sekali ini
dakwat dari hati
sebenar yang-nya kau tuduh konon!

Sunday, March 02, 2008

Asyfa Rawiah Bahagian 11 (Akhir)

3.1.2008
Demam aku tidak berkurang. Aku MC. Aku tanya Queen Asyfa macammana? Masih tiada pergerakan katanya. Aku hanya terdiam. Fikiran aku tidak fokus, melayang layang waktu itu. Selepas makan malam. Aku kunci pintu semua siap siap. Kemudian aku beritahu Queen aku nak tido dah lantaran tidak larat untuk berjaga lagi.

Pukul 3 pagi aku dikejutkan lagi dengan esakan Queen. Aku pujuk dia. Seingat aku masa mengandung Adib dulu pun ada masa masa dia tidak bergerak.

4.1.2008
Selepas solat subuh, Queen menyatakan hasratnya untuk ke klinik swasta di sekitar pejabatnya. Aku berfikir 2 3 kali samada mahu menuruti atau tidak. Queen tidak memaksa, kalau aku tak larat dia pergi sendiri. Sememangnya aku masih belum kebah. Setelah berfikir seketika aku bersetuju untuk membawanya ke klinik.

Pukul 8:30 pagi kami bergerak, hantar Adib ke nursery dahulu kemudian aku terus shoot ke Kelana Jaya. Aku bawa perlahan kerana kepala aku semacam bergoyang. Kami tiba di klinik pukul 9:30 pagi. Kami bersarapan pagi dahulu sementara menunggu kliik dibuka.

Pukul 10:30 baru dapat jumpa doktor. Selepas consultation, doktor melakukan scanning. Dapat dilihat dengan jelas, denyutan Asyfa masih normal dan ternyata dia tidak bergerak.

"i rasa you all better go to HKL now. I bagi you two an MC for today, then terus pergi ke HKL ya? Pasal baby sememangnya ada problem kan? So better kita ambil tindakan yang pantaslah ya?"

Aku dan Queen hanya mengangguk., Selesai urusan di klinik itu, Aku dan Queen terus balik semula ke Sepang. Ambil Adib, balik ke rumah sekejap, kemas beg beg semua. Queen siapkan beg untuk bermalam di HKL, kami bersependapatakan menghadapi premature labour. Dan kemudian aku shoot ke Gombak untuk menghantar Adib. Tiba di Gombak, Adib di transit, aku pesan pada Queen aku tak larat sangat sangat, minta dia bawa sapa sapa sebagai backup andai aku flat tiba tiba. Setelah berbincag lebih kurang akhirnya diputuskan adik perempuan Queen akan ikut bersama.

Kami tiba di HKL pukul 2:30 petang. tenaga aku hanya tinggal sisa sisa. Untung, adik ipar aku itu ikut bersama, dialah yang membontoti Queen kemana sahaja sedang pergerakan aku menjadi perlahan. Pelbagai urusan yang memaksa kami sekejap ke depan sekejap ke belakang. Aku kesian tengok Queen. Aku tahu dari riak wajahnya kerisauaannya belum terjawab. Sedang aku terjelopok di satu sudut. Adik ipar aku memberitahu sekarang nak pergi scan. Aku lihat jam sudah pukul 4:30 petang. Kerana langkah aku perlahan, aku tidak sempat mengejar mereka. Lagi sekali, aku tidak dapat bersama Queen ketika di scan. 10 minit kemudian Queen keluar. Aku tegur dia, " doktor kata apa? baby ok?"

"Baby dah takde..." halus suara queen sewaktu melafazkannya.

Aku terus terdiam. Dah takde? Bisik hati aku.

"Suami Puteri!" jerit seoprang jururawat.

"Er saya..." jawab aku acuh tak acuh.

"Pergi kaunter depan, daftar kita nak bawak isteri you masuk wad ok?"

"Ok.." jawab aku. Dah takde? bisik hati aku lagi. Bukan lahir awal ke? Bukan premature? Kenapa dah takde? Bukan masuk wad lepas tu bersalin awal ke? Hais baju baju baby yang dag beli nak bagi sapa pakai?

"RM15.00 encik" tegur gadis di kaunter pendaftaran.

"Ha? Oh..ok." jawab aku sambil menyeluk poket mencari duit.

Kami kemudian menuju ke wad. Queen kemudian menukar baju. Kami inform ibu bapa masing masing. Waktu melawat sudah tiba dipenghujungnya. Aku cium dahi Queen, aku cuma mampu lafazkan beberapa potong kata semangat untuk menemaninya sepanjang malam. Alhamdulillah, kerana aku dan Queen telah lebih dahulu berbincang mengenai perkara ini, persaipan mental telah dilakukan terlebih awal namun perasaan terkejut tetap terasa. Dan Alhamdulillah aku dan Queen tiada merasa hampa, perasaan sedih itu sikit tetap ada.

Aku tiba di Gomabak menganjak Maghrib selesai solat Isyak dan makan malam aku minta iin kepada kedua mentua aku untuk naik ke atas kerana aku sangat sangat penat. Sampai atas aku terus lena. Dan sepanjang lena itu aku sedar ada beberapa call masuk tapi smeua aku tak jawab. Maaf aku tidak berdaya. Aku perlukan tenaga untuk esok.

5.1.2008
Pertama kali aku dan Queen merasa kosong. Aku teman kan Queen dari tengahari sampai petang. doktor datang masukkan ubat utnuk bersalin. Aku tiba tiba teringatr untuk update blog, lalu aku update terus menerus dari HKL menggunakan handphone aku.

6.1.2008
pukul 1 pagi aku dikejutkan oleh panggilan Queen katanya dah masuk wad bersalin. Aku terus bergegas ke HKL pagi pagi buta itu. Sampai di HKL aku minta kebenaran untuk masuk was bersalin. Pukul 1:30 pagi, Asyfa selamat dikeluarkan secara normal. Hati kau cair melihat raut wajahnya yang tenang. Dengan mata besarnya, dengan telinga kecil dan mulutnya yang kecil dan kulitnya yang putih, ah comelnya anak papa... bisik hati aku.

Pukul 3 pagi baru Queen dimasukkan ke wad. Aku temankan dia seketika. 3.45 pagi aku beritahu Queen aku perlu balik. Pukul 8 pagi nanti kau perlu uruskan jenazah Asyfa, Queen hanya mengangguk lemah.

Pukul 8 pagi aku bersama bonda dan pakcik sebelah Queen ke HKL untuk menuntut jenazah. Di rumah ibu dan bapa mertua ku menguruskan tentang tanah perkuburan.

Pukul 9 pagi aku melihat Asyfa dimandi dan dikafanan.

Pukul 10:30 Asyfa tiba di Gombak. Pukul 11, disembahyangkan. Selesai solat, Kami ke tanah perkuburan.

Pukul 11:30, aku memangku Asyfa dan berjalan ke tempat rsemadiannya. Kemudian aku trlihat sesuatu, ada satu papan tanda, oh! Selesai aku membacanya, abru aku tahu, disitu Nurin disemadikan. Tukang kubur kemudian memberi arahan arahan tertentu untuk aku ikuti mnengebumikan Asyfa.

"Tidurlah sayang, papa akan selalu datang sini." bisik hati aku.

Sesuatu Yang Hilang

kunjung pelangi
antara malap
dan suram

rembes cahayanya
samar samar memetik
seekor kupu kupu
terbang rendah
mendetik masa
dan hilang

bukan enggan bertamu lama
aku percaya,
kelak bila diizinkanNya
sejalur pelangi kan terang
dan kupu kupu kembali datang


3 minggu kemudian, aku bawa Queen ke tanah perkuburan untuk melawat Asyfa untuk pertama kalinya. Sampai di situ, salam pun diberi. Bunga bunga ditabur dan air pun menyirami kecil tapak persemadiannya. Tiba masa untuk pulang, sayup sayup terdengar halus bisikan Queen, "Asyfa, ibu balik dula ya, bila bila ibu datang lagi. "

Sekian. Terima kasih kerana sudi membaca. Dan terima kasih diatas segala sokongan.