Saturday, July 14, 2007

Sunyi

Perjalanan yang jauh aku tempuh setiap hari dari rumah (Gombak) ke pejabat (Sepang) dan dari pejabat ke rumah memang amat meletihkan. Keadaan menjadi lebih parah apabila jalan menjadi sesak. Selalunya berlaku pada hari Jumaat dan Sabtu (waktu petang) atau apabila berlaku kemalangan. Dan selalunya aku akan terperangkap di sektiar Pandan Indah dan Ulu Kelang. Pernah juga aku terperangkap sedari dari Bandar Tasik Selatan lagi. Penat memang penat. Namun, disebaliknya itu ada rahmat yang telah diperuntukkan untuk aku di situ. Aku menerima banyak ilham dalam menghasilkan sajak sewaktu dalam perjalanan dari rumah-pejabat-rumah ini. Tuhan, aku bersyukur untuk itu.

Sada. Salah satu sajak yang telah diilhamkan kepada aku ketika dalam perjalanan pulang dari pejabat. Selalunya jika ilham di dalam perjalanan ini aku mulai dengan tajuknya dahulu dan kemudian aku merangka rangka isinya sedang tangan aku mengawal stereng kereta. Sada antara sajak yang agak sukar telah aku hasilkan. Amat berbeza dengan Pelangi kerana ia dapat aku siapkan sepintas lalu semasa terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas. Penghasilan Sada secara sempurna telah dibantu dengan kata kata yang aku pinjam dari blog Bunga Rampai. Tidak aku nafikan, kata kata yang disusun oleh beliau sangat menarik perhatian aku. Bait bait katanya sangat indah. Setakat ini telah 3 buah sajak aku hasilkan dari kata katanya seperti Puncak kembara Ramadhan, Bagasi Dalam Cinta dan Hatimu Tahu. Dan kali keempatnya, Sada juga aku ambil dari kata kata yang telah tertera di blog beliau.

Namun ilham itu milikNya. Ada masa ia akan hilang walau puas aku memerah akal untuk menyiapkan sajak. Itu yang aku rasa setelah aku selesai menyiapkan Sada. Tiada lagi ilham yang datang. Mungkin ini masa untuk aku berehat. Mungkin juga, sementelah dengan beberapa adegan yang tiba sepanjang minggu ini banyak yang menyentuh hati. Dari Hukum sehingga 5 sahabat aku berhenti secara serentak bulan ini. Oh ya, rumah baru aku di Sepang telah siap. Aku kecewa dengan bilik air dan bilik utamanya yang sangat kecil. Aku mungkin berpindah seawal bulan Ogos nanti. Selepas pemindahan itu terlaksana, tidak dapat lagi aku berblog sekerap selalu. Sekarang ini pun aku dah perlahankan aktiviti berblog agar aku boleh menerima situasi yang sangat sedih ini dari sekarang. Aku minta maaf sekiranya kalian ternanti nanti isen terbaru aku. Jika aku ada masa terluang seperti malam ini, aku pasti akan mengemaskinikan blog dan melawat blog kalian. Janganlah kalian terasa hati apabila aku jarang jarang menjengah ke blog kalian. Janganlah menggunakan alasan itu untuk tidak menjengah ke blog aku ini. Masuklah. Percayalah, tiada siapa yang lebih merindui kalian selain dari aku.

Aku tinggalkan kalian untuk kali ini dengan Sada. InsyaAllah, setiap masa aku yang terluang pasti aku akan mengemaskinikan blog dan melawat blog kalian cuma, tidak sekerap dulu. Singgah blog aku ni selalu walaupun aku akan semakin jarang mengemaskininya. Jangan biarkan ianya sunyi seperti aku yang sunyi tidak dapat membaca kata kata kalian yang indah itu.

Sada

sada,
ingin menjadi burung
agar ukiran katanya
cermat diselitkan
dicelah awan gewaman
nan putih

sada,
ingin seperti bunga
menyambut salam bayu
dan seperti ombak
menggulung rindu
pada pantai

satu lagi tari, sada
untuk hatimu
dari violin
satu lagi hari
untuk hajatmu
dari sini, sada

adalah doa

0 Bangsawan Menatang Sembah: