Asyfa Rawiah Bahagian 2
Seminggu di Alor Setar, entah mengapa dunia aku di sana seakan pegun. Tinggi mercu tanda di bandar Alor Setar hanya menambahkan tinggi rindu aku pada Queen. Aku berkongsi bilik dengan En Zali, mujur beliau seorang yang tak banyak kerenah. Cuma kadang kadang mulutnya agak becok mempersoalkan ini dan itu. Yang paling penting beliau tidak kisah aku menghisap rokok di dalam bilik hotel.
Jika sarapan pagi kami nikmati di hotel, tengahari pula di kantin pejabat, makan malam pula kami nikmati di restoran mamak. Hari hari makan nasi kandar pun muak juga tapi itu yang paling dekat. Aku dah malas nak jalan jauh jauh waktu malam. Boleh dikatakan, En Zali paling awal tidur. Maka tinggallah aku sorang sorang melayan karenah tivi yang menyiarkan cerita ntah hapa hapa ntah. Sambil sambil itu aku menghantar sms pada Queen. kami berbalas sms seperti waktu mula bercinta dulu. Dan rindu di hati ini makin membuak buak. hampir sejam kami berbalas sms dan keindahan perasaan itu terganggu apabila Queen meminta izin untuk beradu. Penat katanya. Ya, aku tidak menghalang, aku izinkan. Dan ciuman kami yang berbentuk perkataan itu pun saling berbalas tanda akhirnya perkongsian rindu pada malam itu.
Tinggal aku seorang diri lagi. Minda aku mengambil kesempatan ini memimpin aku berimaginasi saat saat manis yang aku alami sepanjang aku bersama Queen setakat ini. Dan aku bangkit dari katil, membuka beg galas. Aku capai sebuah buku. Ya, buku itu adalah lontaran segala kata, perasaan dan fikiran ku dalam semua hal. Buku itu, menempatkan semua sajak sajak aku seawal dari 2002 lagi. Aku buka helaian yang kosong, dan aku capai pena yang telah bersedia untuk menarikan fikiranku. Dan aku tulis...
aku di bilik dinginhotel, 422
sedang memerhati gerimis
di kala matahari memandang alam
dengan separuh mata
aku mengira hari
di tanah orang
rindu dan cinta yang ku tinggalkan
lenakah tidurmu?
aku di bilik dingin hotel,
bersama gerimis
dan matahari yang semakin lena
lalu, angan menyuruh ku senyum
- Kingbinjai, Alor Setar
bersambung...
0 Bangsawan Menatang Sembah:
Post a Comment