Sunday, March 04, 2007

Payung

Kassim seperti selalunya akan membawa payung ke pejabat. Bukan kerana dia suka begitu. Tetapi keadaan cuaca yang sering hujan itu memaksa dia yang menaiki kenderaan awam, bas, membawa payung ke pejabat. Dan Kassim seperti selalunya, akan tertinggal payungnya di dalam bas. Bukanlah disengajakan, tetapi entah mengapa sering benar dia terlupa membawa payungnya turun dari bas. Dan kerana itu sering juga dia dimarahi oleh isterinya lantaran hampir setiap hari terpaksa membeli payung baru.

"Ingat bang! Jangan lupa payung ni. Asyik nak beli baru je, kopak lah macam ni!"

Terngiang ngiang pesanan isterinya. Kassim tekad. Digenggamnya payung itu kuat kuat. Sedari dari pejabat lagi dia hanya memikirkan tentang payung. Kali ini, dia tidak mahu terlupa lagi. Destinasi hampir tiba. Tangan kirinya memicit loceng tanda berhenti, tangan kanannya memegang erat payung. Bas berhenti dan Kassim pun turun. Girang. Dia tidak terlupa membawa payung turun dari bas.

"Sayang, tengok! Abang tak lupa bawa balik payung hari ini!" jerit Kassim setiba dia di depan pintu. Sangkanya pastilah isterinya akan memujinya.

"Laaaa abang ni, kan hari ni abang tak bawa payung?!"

0 Bangsawan Menatang Sembah: