Monday, April 30, 2007

Propeller Berpusing Bahagian 4

Di skrin tivi, iklan Olay (betul ke aku eja ni? Lantaklah!).

Selepas Habis iklan, Queen mengejek,

"Eleh, 3 minggu putih konon. Dah 3 tahun pakai tak putih putih pun!"

"Ha ha ha." Aku.

Dulu dulu aku pernah kata pada Queen,

"Putih ke, hitam ke, hijau ke, merah ke tak kisah. Asalkan jangan glow in the dark sudahlah."

Saturday, April 28, 2007

Timbangan Bangsa

berapakah nilai bangsa
yang telah diharamkan
identitinya?

berapa pula harga tebusan
maruah yang diculik
undang undang?

cukupkah sebungkus kemerdekaan
sebagai nafkah bekalan bangsa
sehingga ke hujung nafas?

atau secawan kopi pembangunan
yang dibancuh
tanpa susu dan gula

berapakah nilai kami
disebalik jalan bertar
pelangi di kaca tivi
tinggi cita dan wawasan?

Thursday, April 26, 2007

Menang

Ok! Aku mahu kau orang lakukan sesuatu hari ini. Sila lakukan di waktu lapang kalian ya. Tugasan yang bakal kalian lakukan ini, akan membuka mata kalian dan juga menjawab persoalan kenapa UMN/BN sentisa menang di setiap pilihanraya.Ok, dah sedia?

Sila pergi ke sini : http://daftarj.spr.gov.my/daftarbi.asp

Kemudian masukkan nombor ic ini : 990518610029

Kemudian tekan butang "check".

Nah! Lihat! Patutla mereka menang. Budak 8 tahun pun undi dia orang. Jika kalian ada sebarang pertanyaan, sila emailkan ke : spr@spr.gov.my

Tapi jangan khuatir, dalam suratkhabar itu hari ada nyatakan 80% rakyat melayu tidak daftar mengundi. Dan mereka nyatakan alasannya adalah malas. Kita tak kira apa pun alasannya, kerana 80% bangsa melayu yang tidak mendaftar itu berkemungkinan tidak menyokong kerajaan. Aku mahu boikot Pilihanraya Umum nanti, siapa nak join? Kita tengok berapa sebenarnya yang sokong mereka.

P/s : Fiq, terima kasih di atas info ini.

Wednesday, April 25, 2007

RM6.00

Dari hari Isnin lalu, 23.4.2007. Aku diwajibkan untuk menghadiri kursus "Air Legislatian and Airworthiness Requirements" oleh kompeni aku bagi memenuhi kriteria DCA, selama 4 hari. Kursus dilangsungkan di Subang Perdana, dijalankan oleh APR Sdn Bhd.

Seperti hari Isnin, semalam, aku singgah di restoran berdekatan bagi menikmati sarapan pagi. Aku memesan roti kosong satu dan teh tarik. Selesai makan, aku membuat pembayaran. "Roti kosong dan teh tarik." kata aku ketika berada di cashier kaunter,

"RM2.40" kata akak cashier.

Mak ai! Mahalnya, getus aku. Takkanlah teh tarik dengan roti canai sampai RM2.40?!

"Ada air?" tanya akak cashier.

"Err... kan dah sebut tadi? Roti kosong dan teh tarik?" aku.

"Ooo roti kosong ke? RM1.40" katanya.

Laaaa pekak rupanya. Kursus bermula pukul 9:30 pagi dan meleret leret hingga ke pukul 1.20 tengahhari. "Wei! bila nak benti ni!" jerit hatiku. Lapar tu! Tepat 1.25 tengahari, kursus dihentikan untuk makan tengahri. Aku pergi lagi ke restoran tadi. Malaslah nak pergi jauh jauh. Aku makan nasi+telur sambal+sayur kacang buncis dan air limau suam.

Selesai makan, aku membuat pembayaran. Masih lagi akak cashier yang sama. "Aaaa nasi, telur goreng, kacang buncis dan limau suam." Kata aku.

"RM6.00" kata akak cashier itu tanpa ragu ragu.

"Mak ai! Makan telur pun RM6.00 ke?!" terkejut aku. Aku pun kira duit seringgit yang tebel di tangan aku. Pastu aku terfikir, takkanla... "Kak, makan telur pun RM6.00 ke?!" tanya aku tak puas hati.

"Lauk apa tadi?" tanya akak cashier.

"Nasi, telur, sayur kacang buncis air limau suam." terang aku, hati dah mula panas.

"Takde ikan?"

"Takde!" aku.

"Ooo ingat ada ikan tadi. emm RM3.50" kata akak cashier.

"Dah saya tak sebut ikan, takde ler namanya!" kata aku, bengkek. Dan akak cashier memulangkan baki dengan muka tak puas hati dengan kenyataan aku. Sah pekak!

Cuba bayangkan kalau pelanggan main bayar je, senang senang je dapat duit lebih. Cis!

Monday, April 23, 2007

Igau

“kita akan pertingkatkan dan memperbaharui undang undang yang sedia ada bagi membenteras jenayah!” ucap Lah disatu persidangan. Kedengaran tepukan gemuruh merayap disetiap inci dewan dengan kelajuan bunyi.

Aku, seperti selalu hanya memandang tepat ke arah Lah. Namun pandangan aku, seperti selalu, sia sia. Tidak pernah berbalas.

“Ada cadangan?” soal Lah.

Ah! Ini peluang yang baik. Aku tidak akan mensia siakannya. Bagaikan jari yang terkena paku, tindakan refleks pantas memberi arahan kepada jari suaya mengelak, begitulah cepatnya aku mengangkat tangan untuk memberi cadangan.

“Ya. Kamu. Errr... sapa nama? Dari mana?” Tanya Lah terpinga pinga

Aku hanya tersenyum. Bukan manja. “Nama saya Rakyat.” Kataku.

“Yang berhormat. Saya ada satu cadangan. Memandangkan sudah berpuluh tahun undang undang manusia menerajui dunia, telah terbukti ia tidak memberi sebarang manfaat. Malah ianya, tidak memberi sebarang jaminan keselamatan, keadilan dan kebebasan kepada manusia itu sendiri. Telah banyak kita saksikan makin diperkuatkan undang undang itu, makin banyak jenayah yang berlaku. Oleh kerana itu, saya menyarankan kepada dewan dan Yang Berhormat supaya kembali semula kepada hukum yang telah Allah sediakan untuk kita. Apa pun, Dia lebih mengetahui apa yang baik untuk hambaNya.”

Namun cadangan aku, disambut dengan gelak ketawa seluruh dewan. Ketukan ketukan meja berselang seli dengan gelak tawa itu. “Tak relevan! Tak relevan!” jerit mereka.

Lah, hanya ketawa kecil. “Baik, baik. Diam semua.”

Seketika, dewan menjadi reda.

“Dengan ini saya sendiri mencadangkan supaya cadangan ditutup!”

Serentak, dewan kembali gamat. Bukan dengan gelak ketawa. Tetapi dengan tepukan gemuruh.

Dan rakyat, tetap juga begitu. Terkebil kebil.

P/s : Aku sedikit sibuk minggu ini. Mengejar untuk menyiapkan tugasan DBP. Menghadiri kursus dari hari ini hingga khamis. Dan had masa dalam penggunaan internet. Maaf, tidak dapat menjenguk ke blog kalian. Aku tebus bila lapang nanti. Maaf. Aku rindu pada kalian...

Sunday, April 22, 2007

Opera Hati

turunkan langsir awan
biar hujan merintik

kau pengarah
opera hati yang terluka
bila cinta jatuh di pentas
bila rindu lupa pada skripnya
bila harapan selaku hero
tawar lakonannya

kau pengarah
opera hati
sedang terluka
bila kecewa adalah penonton
mentertawakanmu

dan kau berlalu
saat cinta menunduk hormat
di akhir cerita
bahagia bertepuk tangan
kegembiraan

"jika esok ditayangkan lagi,
aku pasti datang!"

Thursday, April 19, 2007

Profesionalisme

Aku rasa, TV3 perlu untuk tidak menyiarkan lagi segmen "Suara Parlimen." Kenapa? Kerana aku malu melihat keletah mereka di dalam dewan. Macam budak budak berebut mainan. Langsung tidak ada sikap profesionalisme. Macam ini rupanya orang yang mentadbir negara. Isk isk isk.

Etika, apabila mendengar pendapat orang lain, ialah, kita kena tunggu sampai habis apa yang dia suarakan. Perkara ini jika di rumah atau di tengah masyarakat dipanggil adab. Adab apabila orang berkata sesuatu, diam. Tunggu sampai habis apa yang dia suarakan. Ini tidak, belum habis cakap, terus mencelah dan memaki hamun orang. Yang berhormat tu pun nampak sangat berat sebelah. Poodah!

Tapi bagus juga jika segmen itu diteruskan, kerana tampak, pihak pembangkang lebih profesional. Dan ini meyakinkan aku, pilihanraya nanti, pembangkang tetap pilihan. Kenapa? Aku taknak pilih pemimpin yang suka suka panggil orang “Babi.” Jika dia sesama menteri pun dia panggil babi, kita ni rakyat apa agaknya yang dia panggil?

Tuesday, April 17, 2007

Pui

Hari ini, Selasa 17/04/2007. Aku cuti. EL. Cukai jalan dah tamat. Kena perbaharui. Sebelum aku perbaharui cukai jalan, aku kena ke CIMB bagi mengambil geran. Pui.
CIMB itu pula berada di Wisma Nusantara. Kat mana tu? Kat KL Tower katanya. Aku pakir kereta di LRT Taman Melati, dan naik LRT turun di KLCC. Dari situ aku fikir nak naik teksi sahaja. Teksi pertama aku tahan, dia tak tahu. Teksi kedua, pemandunya warga India. "Saya rasa macam pernah pergi Wisma Nusantara ni. Naiklah." katanya. Aku pun apalagi, naiklah. Ingatkan memudahkan kerja. Tapi lebih melecehkan. Tambang aku tengok dari RM2.80 dah ke RM3.00 lebih. Tak boleh jadi ni. Dari asyik berpusing pusing je aku pun telefon CIMB. Tanya kat mana tempatnya. "Depan KL Tower" katanya. Walhal, pemandu teksi-yang-mengaku-tahu -itu sudah berpusing di tempat itu. Aku pun menunjukkan tempatnya. Dan dia tak habis habis meyakinkan aku yang dia pernah sampai di situ. Akibatnya, aku kene RM4.80. "Betullah sini, saya memang pernah sampai sini." katanya lagi. "Poodah!" kata aku. Dalam hati. India, tahu tahu sahajalah. Pui.
Urusan mengambil geran selesai. Aku uruskan Insuran di situ sekali, senang. Cukai Jalan kena pergi JPJ juga pasal kalau aku buat di situ, kena ambil esok. Apahal? Insuran aku kena bayar RM277.34sen. Pui.
Selesai urusan di CIMB. Aku perlu kembali ke KLCC. Sebelum itu aku sms 2 orang sahabat, mana tahu, dapat makan tengahari bersama. Takde balasan. Dari CIMB aku ingat nak naik teksi. Tengok, jalan jem. Aku berkeputusan berjalan sahaja. Jimat RM5.00. Masuk dalam KLCC, nak ke LRT sempat juga aku jeling jeling tengok kerongsang. Aku berhenti di satu gerai. Tanya berapa harga kerongsang yang di jual. "RM128.00 Incik"katanya. Pui! Aku teruskan perjalanan. Jumpa satu gerai jual eksoseri wanita. Ada kerongsang. Tak sampai seratus pun. Aku amik satu. Bentuk bunga, warna jingga. Ok lah. Oi oi, bukan aku nak pakailah, aku nak hadiahkan pada Queen! Korang ni! Aku naik LRT menuju ke Gombak, belum ada jawapan dari sahabat aku yang 2 orang itu. Pui.
Sampai Taman Melati, perut dah keroncong. Aku gagah juga menuju ke JPJ Wangsa Maju. Dapat hidupkan Cukai Jalan. Alhamdulillah. Sekarang aku perlu naik atas membuat pembatalan hak milik pula. Tengah beratur ambil nombor, barulah sahabat sahabat aku membalas sms. Apa barang aku dah kat Gombak! Nak buat pembatalan hak milik kena isi borang. Tengah tengah isi itu, datang satu Singh minta nak buat pembatalan hak milik. Dan akak kaunter itu bagi borang yang sememangnya bertaip dalam Bahasa Melayu.
"Do you have this in english version?" tanya Singh itu.
"No no you have to fill up the form" kata akak itu.
"Yes yes, but do you have this form in english because I dont understand Malay, Im from India." kata Singh itu.
"Ha?" tanya akak itu.
"Pui." aku. Dalam hati.
Sebelum sempat aku menyampuk, datang seorang lagi akak memperbetulkan keadaan. Nasib baik, kalau tak memang kena sebakul dengan aku. Siap isi borang, ambil nombor. Sekali offline la pula! Hampeh betul. Aku disuruh datang esok. Apa barang ni? Aku dah mula panas. Sewaktu memeriksa geran kereta aku, terbukti kereta aku dulu tukar hak milik di Pahang. Dah tak pasal pasal aku kena ke Pahang pula nak batalkan hak milik. Tak dapat buat kat Wangsa Maju. Tak boleh centralised ke? Soal aku dalam hati. Pelik betul. "Habis kak, nak buat pembatalan ni bila bila boleh?" soal aku, yalah, bila pula aku nak pergi Pahang?
"Ha'ah tak kisah."
"Takde denda?" soal aku.
"Takde. Bila bila boleh."
Kalau begitu, 5 tahun lagilah jawabnya aku buat. Ha ha ha.

Monday, April 16, 2007

Langau

Menteri mahu jadi bloggers. Aku mahu ulang ulas isu ini. Rata rata tidak setuju. Aku? I don’t mind. Tapi aku tak suka jika mereka meletakkan syarat seperti mesti kena berdaftar.

Apahal? Dahlah prepaid kena daftar, ada blog pun nak daftar? Apahal? Blog bukan milik kerajaan. Ia milik dunia. Blog bukan kau rang yang discover, tapi kami rakyat yang dahulu menjumpainya. Kalau kau nak join, joinlah tapi jangan nak lawan tokey pula. Masuk kandang kambing mengembek, masuk jadi bloggers bersedialah menerima kutukan. Kalau takut dengan kutukan, berlawan sahajalah di dalam dewan. Lagipun, jika kau orang semua telus dan tulus, tiada apa mahu ditakutkan bukan?

Banyak juga isu isu tentang blog yang telah diketengahkan oleh media seolah lah menujukkan blog ini benar benar medium perantaraan fitnah. Kajilah dengan amanah, blog banyak genre, ada yang bercerita tentang kucing, ada yang bercerita tentang cinta ada yang tentang sajak, kehupan seharian, santai dan lain lain. Tidak semua berdasarkan politk semata mata. Tidak adillah bagi yang lain sekiranya kerana kepentingan politik kamu nak memburukkan kami. Ini bukan membantu menjernihkan keadaan. Ini hanya menambahkan bilangan bloggers menyumpah seranah kamu semua.

Pada aku, kalian hanyalah sekadar langau yang cuba mendekati siakap 3 rasa yang kami, bloggers sedang nikmati.

Sunday, April 15, 2007

Jumpa

Alhamdulillah! Yeay! Yin dah dijumpai! Tahniah kepada keluarga Yin dan tahniah juga kepada kita semua yang terlibat dalam usaha mencari Yin.

Senang hati tengok Yin berpelukan dengan bapanya. Dengan wajah yang ceria dan senyuman yang manis. Terasa berbaloi aku memecut dari Ampang ke Gombak malam itu. Melihat wajah Yin aku terasa seperti seluruh rakyat Malaya melepaskan nafas lega secara serentak. Haaaaa...

Tapi kan, kenapa kepala Yin botak?

Saturday, April 14, 2007

Bilkan Situasi Itu

Situasi itu telah dibilkan
dibayar dengan maruah
resit disambut dengan mulut
dan ketar di tangan

Senario itu dibeli secara hutang
nanti akan dibayar bila sampai bilnya
bayaran minimum adalah : rakyat
bayaran penuh adalah : masa hadapan

Situasi itu adalah duit di dalam mesin
janji janji kata laluan membenarkan cara
dan resit itu adalah anak anak bangsaku
yang bukan disimpan untuk rujukan

Wednesday, April 11, 2007

Yin

Kisah ini tidak asing lagi. Malah ia kerap dipaparkan di kaca tivi. Malah kita setiap hari menunggu dan mengambil tahu perkembangan kisah kehilangan adik Nazrin. Malah, ada juga di kalangan kita yang lancang mulut mencemuh.

Sebelum kita pergi jauh, aku ingin mengambil kesempatan di isen kali ini, untuk memberitahu, bahawasanya, aku memandang hina kepada sesiapa yang telah menghantar sms yang menghina, mencemuh dan memaki hamun kepada keluarga malang ini dengan mengatakan mereka tidak pandai jaga anak. Jaga jagalah, Allah itu maha adil. Aku juga beranggapan kalian yang spesis ini, tergolong dalam golongan yang berfikiran dengkel.

Nasi sudah hangit, apa yang perlu dilakukan ialah mencari penyelesaian bukannya lancang mulut kemelayuan kamu itu yang harus diperdengarkan. Yang utama ialah Yin sudah hilang, dan kita seharusnya bekerjasama menyelamatkan keadaan. Jika kau tidak mahu membantu duduk sahajalah diam diam.

Kita saksikan pelbagai pihak turut campur tangan membantu keluarga tersebut. Dan terbaru, Pemuda UMNO bersama Mat Rempit berganding bahu menghulurkan bantuan. Tiba tiba aku jadi malu. Tiba tiba aku rasa tercabar. Bloggers, bagaimana?

Aku tahu, kita punya masa yang terhad. Namun kamu lupa satu perkara. Kita Bloggers. Kita sebenarnya dalam satu kesatuan, walaupun tidak diiktiraf secara nyata, namun di mana sahaja kita berada, atau siapa sahaja kita disebalik skrin monitor, samaada kamu blogspot, worpress, blogdrive, yahoo 360, esasterawan dan lain lain asalkan kamu Bloggers, maka kamu, aku dan kita semua di dalam satu ikatan yang sama. Kerana di dalam blog tiadalah istilah perkauman dan tiada kekitaan.

Jadi, di isen kali ini, aku ingin mengajak kamu, supaya menghulurkan 10 minit kepada keluarga terbabit. 10 minit, bermula dari sekarang, aku mahu kamu lakukan 2 perkara :

1. tutupkan mata, niatkan di dalam hati dengan ikhlas semoga Allah pertemukan Yin dengan keluarga mereka dengan selamat dan kemudian, bacalah Al-Fatihah. Boleh? Mari, kita sama sama tunjukkan pada dunia, blog bukan sahaja medan mengkritik, tetapi juga medan kemanusiaan.

2. Copy link gambar di atas dan paparkan ia di dalam blog kamu sebagai tanda sokongan padu kita. Sebagai tanda niat kita mahu Yin kembali kepangkuan keluarga dengan selamat.

Sedia? Mula.

Al –Fatihah.

P/s : Semoga dengan keikhlasan kita semua baik di alam nyata dan maya, Yin akan pulang dengan selamat. Amin.

Saturday, April 07, 2007

Bukit Belacan & Fun Fair

Sabtu 7.04.2007

Hari ini, ada aktiviti mengembur di Bukit Belacan. Pukul 9:28 pagi aku bertolak dari Gombak. Tiba di sana pukul 10:02 minit. Selepas memakir kereta ditempat yang disediakan, aku dan Queen terpaksa menapak. Apsal lah Bukit Belacan ni tak boleh pakir di dalam? Kes taknak bagi basuh kereta la ni kan?

Sampai di tempat berkumpul, Attokz bertanya kepada aku "Dari Gombak ke rumah mak mentua?" Soalan ini memberi tekanan yang hebat pada aku untuk menjawabnya kerana rumah mak mentua aku memang di Gombak.

Kak Ungku bertanya kepada aku kenapa aku tak makan kek? Soalan ini juga memberi tekanan yang hebat kepada aku. Hakikatnya, aku sendiri tidak tahu kenapa aku tidak makan kek. Makan tu makan juga kadang kadang tapi bukanlah feveret aku. Malah kalau nak dikatakan selera aku sekarang banyak yang tertutup. Kalau dulu kari itu adalah salah satu kegemaran feveret aku, tapi sekranag aku dah tak beberapa sangat nak menyentuhnya. Begitu jugalah dengan kuah labu, kuah lemak, asam pedas, dan lain lain. Kenapa? Entah aku pun tak pasti. Jadi Kak Ungku, saya minta maaf kerana tidak dapat menjawab soalan akak dengan baik.

Setelah beberapa lama aku di situ, Adib pun dah bermandi manda. Ketika aku sedang sibuk mengambil gambar sana sini, tiba tiba. "King!" tegur satu suara. Aku menoleh, tengok ada satu mamat hensem menuju ke arah ku sambil menghulurkan tangan. Sumpah aku tak cam siapa dia ni. Dah lama aku perhati barulah aku tahu, rupanya Kemat! Chit misai dah hilang patutla aku tak kenal! Ha ha. Sorry Kemat. Ha ha.

Aku ingin bercerita tentang air kolah 2 marhala. Tapi aku tak tahu macam mana nak menaipnya. Ha ha. Jadi kau orang gelak jelah ya? Ha ha ha. Sempat juga aku mengambil beberapa gambar. Selebihnya aku kan postkan di flickr nanti ok? Komen? Ok komen aku :

1. Aku ucapkan tahniah pada Attokz, aku suka aktiviti ini. Seronok dan amat rugi jika tidak hadir.
2. Next time, buat kat laut pulak ek...
3. Susun aturcara aku harap lebih teratur lain kali.
4. Aku frust tak menang game Raja botol. Tak aci. Ha ha
5. Terima kasih kepada mereka yang membeli Narayuda. Semoga kalian murah rezeki untuk membelinya lagi. :P

Aku tak dapat bersama dengan lebih lama. Kerana waktu tidur Adib sudah jauh tersasar. Sebelum dia hilang mood aku terpaksa undur diri. InsyaAllah jika ada lagi aktiviti sebegini aku pasti turut serta.

Pasangan ideal? (ha ha jangan marah ek)

Kak Ungku dan Amyz (Moderator yang sedang gila kuasa)

Pihak penganjur dan juga tukang rasa air

Ronoroah Zorro (ha ha)

Mari! Mari!

Adib memang pantang jumpa air.


Kak Ungku dan Zhouls (aka usop. Ha ha jangan marah zhouls.)
Aqil (Bukan bukan. Bukan Aqil Hayy)

Nak mandi pun susah wooo

Sempat mengumpat lagi tu!

Hmm, nak mandi ke tak nak ni?

Raja Botol. Cis, kau Kemat!

Pengunjung setia. (Attokz dia ni kah yang rampas kek kau?)

Begitulah serba sedikit laporan dari aku. Selepas balik dari mengebur itu, aku Queen dan Adib tido sampei pukul 6. Malam pula tiba tiba aku teringat sesuatu. Kat Pandan Mewah ada Fun Fair. Apa lagi...








Friday, April 06, 2007

Nak Cari Apa?

Satu hari aku berjalan jalan dengan Queen. Mencari lampu untuk ruang tamu. Terserempak dengan satu kedai perabot. Ada jualan murah. Dan juga kenyataan ini di meja rundingan. Ha ha.



* * *
P/s : Maaf, kerana mengambil masa yang lama untuk membalas komen kalian di dalam isen yang sebelumnya. Ini kerana kemudahan internert di pejabat telah terhalang. Aku tidak dapat mengemaskini blog seperti biasa. Tiba tiba aku terasa sedih, sedih kerana bulan 6 nanti aku akan berpindah ke Bandar Baru Salak Tinggi Sepang. Jika aku tidak dapat menikmati kemudahan internet di pejabat, bagaimana aku dapat bertemu dengan kalian di alam maya itu? Ah, selepas ini, tidak dapat aku mengemas kini blog untuk tatapan kalian setiap hari. Maaf ku pohon.

Thursday, April 05, 2007

Usul

Khamis 5.04.2007

Kau, tengok Berita Utama semalam?

Para menteri disarankan untuk mempunyai blog sendiri. Wah nampaknya acara berblogging mendapat tempat di hati mereka. Berblogging sudah setaraf dengan permainan golf. Mungkin juga mereka berfikir "if you can't kill them, join them!". Tapi yang nak letak beberapa syarat tu nak buat apa? Dasar pengecut.

Mungkin sudah tibanya kita bebrincang sesama bloggers. Jika para menteri mahu berblog maka kita, bloggers perlu juga menjadi menteri. Well, "if you can't kill them, join them!"

What say you?

Wednesday, April 04, 2007

Saman, Masjid Dan Meeting

Rabu 4.03.2007

"Hafiz kau tolong buat ni jap." Pinta aku kepada Hafiz.

"Buat apa? Aku nak pergi bayar saman ni" Dalih dia.

"La kau ni, bawak motor pun boleh kena saman ke?" aku.

"Wei kalau aku bayar saman kat masjid tu boleh tak?" tanya Hafiz.

Apa ke jadahnya pulak nak bayar saman kat masjid?

"Masjid? Ntah. Setahu aku masjid bayar zakat bolehlah. Tak tahu pula aku boleh bayar saman?" aku.

"Ha ha ha kau ni. Balai polis kat masjid tula!"

"Ooo. Ntah, boleh kot. Kau nak pergi sekarang ke?"

"A'ah, aku nak pergi lah ni."

"Kan ke ada meeting?" ingat aku.

"Meeting kensel." jawab Hafiz sambil tersenyum dan bergegas keluar dari workshop. Tinggallah aku sengsorang menyiapkan kerja. Tidak sampai 5 minit, pintu workshop dibuka dan aku nampak Hafiz masuk sambil tersengih.

"Oi, cepatnya kau pergi bayar saman?" tanya aku.

"En. Asin (HOD) tak bagi keluarlah. Ada meeting kejap lagi."

Ha ha. Tulah cakap aku tak nak dengar. Ha ha.

Tuesday, April 03, 2007

Wilayah

Selasa 3.04.2007

Kau orang tahu tentang Wilayah pembangunan Iskandar yang terletak di Johor itu? Apa pandangan kalian? Aku rasa sangat curiga kenapa kawasan itu dijadikan daya tarikan untuk menarik pelabur asing. Tiada cara lainkah?

Sudah tentu Singapura akan bertepuk tangan gembira dengan berita ini. Sudah tentulah, pasal mereka juga berstatus pelabur asing. Nampaknya 20 30 tahun lagi, Malaya akan jadi macam Palestin. Tanah terjual tanpa disedari.

Monday, April 02, 2007

Anggur

Isnin 2.04.2007

Azlina kata, penganggur harus memandang ke Asean. Cari peluang kerja di sana, jangan mengharap kerja di Malaya semata mata. Betullah kata beliau, pasal kat Malaya mana ada kerja lagi dah.

Tapi kenyataannya itu cukup tidak matang. Malaya melahirkan berapa puluh ribu graduan saban tahun? Penat penat belajar alih alih kemahiran dan kepandaian mereka kita "eksport" pula ke negara luar. Dah tu bila Malaya nak maju? Tapi betullah kata beliau, pasal kalau kerja kat Malaya pun dengan kompeni asing. Yang dapat manfaat pun dia orang kita kutip cukai je. Jadi, samalah seperti bekerja di negara mereka.

Bagi negara berstatus maju, kita perlu sekurang kurangnya 4 syarikat RND milik negara seperti ketenteraan, perubatan, domestik dan industri. Tapi kita apa ada? Hutang sahaja... Jika tenaga mahir seperti ini tidak bekerja di negara sendiri, di syarikat milik negara, adalah satu pembaziran yang besar.

P/s : Masa aku menganggur 3 bulan dulu, sepanjang tempoh itu 80 resume aku hantar ke 80 kompeni. Hanya 3 yang panggil temuduga. Dan 1 yang menerima.

Sunday, April 01, 2007

Palestin