Friday, May 25, 2007

Ganggu

Semalam aku dan Ustaz Hafiz, menemani seorang sahabat berubat dengan perubatan islam.

Aku dan Ustaz Hafiz menemani dia sehingga masuk kedalam bilik perubatan sekali. Ustaz menjalankan tugasnya. Aku duduk di satu sudut bilik itu, Ustaz Hafiz duduk disebelah aku. Kami memerhati keletah ustaz itu mengubat sahabat aku menggunakan ilmu tasawuf. Namun aku duduk dengan tidak senang. Kerana malam itu, gigi aku yang sakit itu berdenyut denyut dengan kuat.

Sementera itu, sahabat aku mengerang ngerang menahan kesakitan hasil dari ilmu ustaz tersebut. Dan kebetulan pula masa itu, kesakitan gigi aku tiada dapat tertahan. Aku yang duduk itu pun terhuyung hayang, badan aku kedepan ke belakang, sekejap aku bersimpuh, sekejap aku duduk senget, sekejap aku rebahkan kepala aku ke lutut, kejap aku hentak kepala aku ke bahu Ustaz Hafiz dan pelbagai lagi aksi aku menahan kesakitan.

Dan aksi sarkas aku itu pun disedari oleh ustaz itu.

"Ni kenapa? Ada gangguan juga ke?" tanya ustaz itu. Mungkin khuatir bacaan yang dia baca menggugat aku sekiranya aku ada jin dalam badan.

"Errr tak tak ustaz. Saya sakit gigi." jawab aku.

"Ooo sakit gigi, makan panadol." jawab ustaz itu dan menyambung tugasnya.

Ustaz Hafiz disebelah aku ketawa mengekek ngekek.

Cis!

P/s : aku akan ke klinik gigi sekejap lagi. Doakan supaya doktor itu murah hati dan tidak mengenakan caj yang mahal mahal. Amin.

0 Bangsawan Menatang Sembah: