Saturday, May 26, 2007

Serang

Masih berkisar tentang kenaikan harga barang. CUEPACS telah melancarkan perang terhadap semua peniaga. Para pengguna juga menyerang peniaga. Zalim kata mereka. Akan tetapi wajarkah hanya peniaga, pengilang dan pemborong sahaja yang harus dipersalahkan? Hakikatnya seluruh peniaga di Malaya menaikkan harga barang adakah ini dikatakan tidak wajar? Jika satu dua peniaga mungkin boleh dianggap tidak wajar tetapi kalau seluruh? Maka wajarlah ianya dikaji secara ilmiah.

Mari kita lihat senarionya dengan lebih dekat :
1. kerajaan telah menaikkan harga minyak, tol, api dan air.

2. Pengilang yang menggunakan mesin yang beroperasi menggunakan eletrik. Katakan, sebelum kenaikan, sehari penggilang menggunakan eletrik sebanyak RM200.00. Kemudian eletrik dinaikkan harga dan sehari kos penggunaan eletrik telah meningkat kepada RM250.00 satu hari. Perbezaan sebelum dan selepas kenaikan adalah RM50.00. Kalau penggunaan secara terus menerus selama sebulan (30 hari) maka ia telah menjadi RM3000.00. Jadi persoalannya siapa yang nak bayar harga eletrik yang RM50.00 itu? Kau kah? Sudah tentu tidak. Sudah pasti pengilanglah yang harus membayarnya. Dan katakan pengilang harus menghantar barangannya dari Gombak ke Sepang. Kos minyak dan tol sebelum kenaikan adalah RM25.00 pergi dan balik. Selepas kenaikan pula kosnya adalah RM35.00. Jadi ada lebihan tambahan sebanyak RM10.00 setiap kali menghantar barang. Persoalannya bagaimana pengilang mahu menampung tambahan kos ini? Hendak tak hendak mestilah dengan menaikkan harga barang tersebut. Katakan tepung itu dijual RM0.90 sen telah menjadi RM1.05 sen.

3. Pemborong pula sebelum kenaikan dia membeli tepung dari pengilang dengan harga RM0.90 sen satu paket. Selepas kenaikan pengilang menjual RM1.05 satu paket. Terdapat kenaikan sebanyak RM0.15 sen di situ. Dan kos pembelian oleh pemborong telah meningkat. Nak tak nak dia kena beli juga. Jadi kos lebihan RM0.15 itu siapa yang nak tanggung? Sudah tentu pemboronglah yang tanggung. Oleh sebab untuk menampung kos yang telah meningkat itu maka dia naikkan harga tepung sebanyak RM0.20, menjadi RM1.25 sen satu paket.

4. Kemudian perkara ini beralih kepada peniaga pula. Dengan kenaikan RM0.20 satu paket tepung, sudah pasti peniaga harus berbelanja lebih untuk menepati permintaan pasaran. Dan kerana untuk menampung kos kenaikan tadi, maka terpaksa jugalah dia menaikkan harga tepung tersebut.

5. Kemudian para peniaga restoran pula terhimpit dengan kenaikan harga tepung ini. Kita ambil seorang penjual roti canai, beliau juga terpaksa untuk mengimbangi kedudukannya dengan kenaikan harga barang. Jadi nak tak nak terpaksalah dia menaikkan harga roti canainya dari RM0.70 sen menjadi RM0.80 sen.

Dan tanyalah kembali, wajarkah mereka mereka ini dipersalahkan? Sedangkan mereka juga perlu melakukan sesuatu bagi memastikan perniagaan mereka tidak rugi. Jika semua kos kos kenaikan yang disebut di atas tidak mereka imbangi maka kerugian mereka siapa nak tanggung? Kau kah? Sudah tentu tidak. Cuba fikir lagi jika kita semua sepakat mahu melancarkan perang kepada pengilang, pemborong, peniaga runcit dan peniaga makanan. Dan berjaya menghalang mereka dari menaikkan harga barang, apakah tindakan mereka untuk menampung kenaikan kos tersebut? Nak tak nak terpaksalah mereka memberhentikan sebilangan pekerja atau tidak menaikkan gaji pekerja, atau menarik balik kemudahan klinik panel atau tidak memberi bonus dan sebagainya. Dan tidakkah ini menyebabkan kita menjadi zalim hingga memaksa mereka bertindak sehingga tahap itu?

Pengguna yang bijak bukan sahaja menggunakan kuasanya memerangi kezaliman peniaga tetapi juga harus tahu dan mengkaji faktor faktor yang menyebabkan kenaikan harga barang. Jika hanya ditempat anda sahaja harga barang naik, maka wajarlah peniaga itu diserang. Tetapi kalau seluruh Malaya? Fikir fikirlah.

Kita ambil contoh Thailand, di sana mereka juga ada lebuhraya, tetapi kerajaan mereka tidak mendirikan tol. Mengapa? Kerana jawab mereka lebuhraya itu untuk kegunaan rakyat. Di Australia, juga tiada tol dan harga minyak juga diturunkan. Kerajaan mengatakan harga minyak di Malaya masih yang terendah di dunia selepas kenaikan. Bagaimana dengan Brunei? Hakikatnya merekalah yang paling rendah sekali.

Dalam kita sibuk sibuk menentang peniaga yang zalim (kononnya) bagaimana pula dengan kerajaan yang zalim?


0 Bangsawan Menatang Sembah: