Sunday, September 23, 2007

Nurin

Jiwa jiwa kita pun merusuh tatkala busuk berita itu sampai ke telinga. Siapa angkaranya? Kita hanya berspekulasi, tak habis habis. Mulut hanya tahu berkata jijik! Kotor! Jahanam! Mencarut sana sini. Berapa nilai nyawa manusia? Adakah setanding menara tinggi? Adakah bersinar seperti pertunjukan bunga api atau berharga seperti banglo 2 tingkat seluas padang?

Sayang akal kita terpaksa ditunjal oleh mayat seorang kanak kanak untuk memberitahu yang nyawanya, nyawa kamu, aku dan kita semua hanyalah tidak lebih dari sebutir sampah. Tak perlu jari jari runcing itu, tidak perlu juih juih mulut mengejek menuduh sesuka hati. Sekarang ini yang patutnya di isi di dalam benak kita yang beku itu bukan persoalan siapa punya angkara tetapi apa tindakan sewajarnya?! Cukupkah dengan memberi hukuman yang paling berat kepada pesalah? Cukupkah dengan terlaksananya undang undang negara yang sedang berdiri dengan satu kaki? Cukupkah dengan berhati hati dan nekad menjaga perihal sendiri? Cukupkah?

Tuhan sudah tetapkan kepada kita hukum hukamnya yang wajib dilaksana, namun dengan bongkak dan bodoh sombongnya, kita memberi mandat perlaksanaan keadilan, kebebasan dan keselamatan kepada sekumpulan kera. Ucapkan terima kasih pada mawar itu, kerana memberitahu kamu manusia, ini akibat yang tersurat kerana hatimu redha dengan segala macam agenda, membelakangi tuhan! Dan lain kali jika terjadi lagi, tudingkan jari itu ke kepala sendiri.

Lelongan Di Pasar Metropolitan

jiwa manusia sudah
sehebat binatang
dan lupa pada tanah
asal kejadian malah
tempat menumpang

"manimu itu tika jatuh ke bumi
takkan diendah oleh ayam sekalipun,
jangan kau lupa!"

tuhan melihat
di pasar metropolitan
lelongan maruah
demi ringgit dan sen
syukur untukNya
hanya dihujung lidah

juadah di jagat nyata dan maya
menjadi rebutan
dan tuhan melihat betapa kita
menentang kebenaran
ketika dalam keimanan

0 Bangsawan Menatang Sembah: