Thursday, November 30, 2006

Cicak!

"Cuk! Cuk! Cuk!" Cicak disyiling berdecuk. Berdecuk? Berdecik, berdicit, berdicut, ah persetankan!


Look! Its a plane! Its bird! No! Its... its.. its CicakMan!!!




Ya, ia bakal ditayang di panggung yang berdekatan. Atau sudah ditayangkan? Entah! Satu usaha yang aku kira sangat baik dalam industri perfileman negara. Syabas untuk Yusri. Kerana berani mencuba sesuatu yang baru. Aku harap ianya amat berbaloi. Pertama kali aku melihat gezzetnya aku sudah teruja. Ooo ooo CicakMan! Namun keterujaan aku hanya sebenter. Ya, sebenter. Aku tak salah eja harap maklum!

Dalam keterujaan aku itu terlintas satu fikiran nakal, takde binatang lainkah selain dari cicak? Kenapa cicak, binatang yang mendedahkan tempat persembunyian Nabi itu mahu dijadikan superhero? Binatang yang sunat hukumnya dibunuh pada setiap malam jumaat itu telah dinaik tarafkan. Kenapa? Tidak ada binatang lainkah?

Dulu dulu, masa kita kecil, kalau bermain bersama kawan kita akan berangan angan mahu menjadi superman, batman, otromen, gaban dan ntah apa apa lagi. Zaman kita remaja yang senja, anak anak buah kita mahu menjadi Power Rangers dan KluangMan. Zaman anak anak kita (aku) nanti, mahu jadi CicakMan! Aduss...

Setiap kali aku menonton gezzet itu, persoalan itu masih terus berlegar. Tiada binatang lainkah? Kan ke ada kala jengking, tebuan, rama rama, ulat gonggok, ulat bulu, lintah, pacat, kumbang, belalang, cakciboi, semut ipoh, semut merah, semut mayat, tungau, tapak sulaiman, kutu kepala, kutu kucing, landak, hatta, macam macam ada!

Namun jangan risau, aku tetap menyokong industri filem melayu. Untuk CicakMan, aku amat pasti akan membeli CD Pirate! Kenapa? Kerana aku masih tidak boleh menerima cicak menjadi hero. Cicak beb cicak!

"Cuk! Cuk! Cuk!"

"Eeiii aku gelilah!" kata kawan aku yang berambut panjang dan meminati muzik Punk dan Metal bila terlihat cicak.


Wednesday, November 29, 2006

Seekor Itik, Sebuah Bar

Adapun, seperti yang diceritakan ada seekor itik pada suatu hari ia memasuki sebuah bar. Mata mata mula memandang liar. Suara hiruk pikuk menjadi sunyi seketika tatkala melangkah masuknya seekor itik ke dalam sebuah bar. Tunduk lah itik itu, tiada dia mahu mendongak, berjalan maju menuju ke meja panjang yang di bawahnya berderet kerusi tinggi bulat. Maka duduk lah dia di salah satu kerusi itu dan memanggil pelayan bar mahu memesan sesuatu. Datanglah pelayan lelaki tersebut sambil mencuci gelas ke arah itik.

"Mahu apa?" tanya pelayan bar.

"Roti ada?" tanya itik.

"Mana ada roti?!" pelayan bar. Keras nadanya.

"Ooo ok ok." itik.

Duduk lah itik di situ pabila permintaannya tiada bersambut. Makanlah ia semangkuk kacang yang terhidang. 30 minit berlalu, dipanggil lagi pelayan lelaki tadi.

"Mahu apa?" tanya pelayan lelaki tadi setiba dia di hadapan itik. Sedikit jelak lagaknya.

"Err, roti ada?" tanya itik, sedikit gentar.

"Takde!" tegas pelayan itu.

"Ok ok takpe." itik.

Maka berlalu pergi pelayan tadi meninggal itik tersebut. Dijeling jelingnya itik itu kadang kadang. Habis kacang, di tambah lagi maka makanlah ia itik itu dengan perlahan lahan. Sejam telah berlalu. Itik itu memanggil semula pelayan bar tadi.

"Mahu apa kau?!" tanya pelayan sedikit bengang.

"Roti ada?" tanya itik penuh pengharapan.

"Takdelah bodoh! Lagi sekali kau tanya pasal roti, aku paku kau kat dinding tahu!" marah pelayan bar itu.

Maka terkedulah itik. Hasratnya mahu merasa roti masih tidak kesampaian. Maka tinggallah ia di situ mengunyah kacang perlahan lahan. Sebiji demi sebiji demi sebiji demi sebiji, tanpa disedari 5 jam sudah berlalu. Di jelingnya pelayan tadi yang sedang bergelak ketawa bersama beberapa orang pelanggan. Lalu dipanggilnya kembali pelayan itu.

"Ya?" tanya pelayan itu setelah menghampiri itik. Seakan akan telah lupa pada amarahnya.

"Paku ada?" tanya itik.

"Pelayan menjadi terkejut. Sedikit pelik dengan pertanyaan itik itu lalu dia menjawab, "Paku? Mana ada paku?!"

"Roti ada?!"

Tuesday, November 28, 2006

Untukmu

26.11.2006

Adalah tarikh keramat. Satu tarikh di mana aku dan Queen bergelar suami isteri 2 tahun lalu. Hari itu, ahad. Selesai mandi pagi. Aku kaget bila terlihat bungkusan di atas meja solek. Satu paper bag, di dalamnya ada sekeping kad dan setin biskut fames amos.

Ah, aku tidak langsung membelikannya sebarang hadiah pun. Hatta sekeping kad pun tiada. Sambil membaca kata kata yang membelai perasaan perlahan lahan hati aku memohon maaf. Maaf kerana tiada pemberian utnuk hari yang istimewa ini. Bukan aku terlupa, sama sekali tidak. Sebabnya, engkau lebih memahami.

Selesai memakai baju, aku turun. Menuju ke dapur. Terlihat si dia sedang menyiapkan sarapan. Aku peluk dan cium pipinya tanda terima kasih.

Lewat petang,

"Bi, tidak ada sajakkah?" tanya Queen.

"Emm takde ide la." aku. Sungguh! Bukan aku terlupa, tidak. Namun aku betul betul tiada ide. Sebelum tarikh itu tiba aku sudah merangka rangka ayat. Semua tidak kena. Lalu pagi ini Allah itu maha berkuasa amat! Perlahan lahan ide itu datang. Satu demi satu. Maka terimalah pemberian yang tidak seberapa ini yang datang dari hati serang suami yang ikhlas. Buat ulangtahun kita yang kedua. Semoga kita kekal selamanya. Maaf kerana maharaja ini tiada termampu menyaluti zahirmu dengan kemewahan dunia seperti layaknya. Maaf. Aku sedang berusaha mengubah suasana hidup kita. InsyaAllah, ketika itu kan ku cari padanan yang sesuai dengan senyummu. :)


Untukmu

untukmu
ku alirkan selautan kasih
yang tiada surutnya
setiap purnama

untukmu
ku layarkan bahtera
yang tiada resah
meredah gelora

untukmu
tulus kerinduan
selayak permaisuri
tiada berbelah bagi

dan kita hiasi awangan
dengan memori
kita ajarkan pada tiung
segala melodi

kukuhkan kota dihatimu itu
selagi ada nafas kurniaan tuhan
selamanya itu kan mekar
pun begitu
bila airmata mengiringi
cinta untuk kita sentiasa ada

untukmu
ku hadiahkan cinta yang terbaik


Saturday, November 25, 2006

Hikayat Merong Mahawangsa Bah 3

Adapun si Geruda setelah dipastikan angkatan dibawahnya itu adalah dari kerajaan Rum maka menjadi amat marahlah ia lalu ia datang menyambar. Raja Merong Mahawangsa menarik busur anak panahnya yang bernama Ayun Ayunan itu ke udara. Bergemuruhlah bunyinya bagai halilintar membelah angkasa. Maka segala jenis meriam di atas bahtera jua habis di halakan kepada Geruda, namun sedikit tidak memberi apa kepadanya. Lalu Geruda membalasnya dengan mendatangkan guruh, hujan, angin, ribut dari sebelah selatan menghala ke utara. Demi melihat kesaktian Geruda, Raja Merong Mahawangsa mengambil panahnya yang bernama Ayun Ayunan yang hujungnya merah seperti api dan dilepaskan ke arah ribut yang mendatang. Lalu terpaculah gunung menahan ribut yang diterbitkan oleh Geruda itu. Larilah burung Geruda itu setelah berjaya merosak 3 buah bahtera, saat itu malam pun tiba.

Keesokan harinya, setelah dipastikan tiada kehadiran Geruda itu, maka belayarlah bahtera yang tinggal hingga sampai ke Kuala Tawai. Dengan tiada semena mena muncullah Geruda itu dengan ribut dan taufan, kilat sabung menyabung. Maka Raja Merong Mahawangsa pun mengambil panahnya yang bernama Berana Pura itu, bernyala nyala api dihujungnya dan dilepaskan ke udara. Maka bergemuruhlah bunyi menerbangkan segala hujan, ribut dan taufan. Dan terlihat Geruda sudah membinasakan 3 lagi bahtera di dalam kelam kabut itu. Dan segeralah Raja Merong Mahawangsa itu memanah sekali lagi menggunakan Berana Pura itu. Maka bergemuruhlah angkasa dibelah anak panah yang menuju ke arah Geruda. Demi dilihat oleh Geruda, maka ia pun mengibaskan sayapnya maka jatuhlah anak panah itu ke dalam laut. Lalu dengan pantas ia menyerang hingga rosak binasa enam buah bahtera lagi. Dan larilah Geruda itu setelah diamati sukarnya membinasakan seluruh angkatan Raja Rum itu.

Maka belayarlah semula angkatan kerajaan Rum itu hingga tiba ke laut Kuala Parit. Setiba di situ, datanglah Geruda itu sekali lagi menyerang. Dan seballah hati Raja Merong Mahawangsa. Lalu dicapai panahnya yang bernama Pusar Sempani Gembira dan dilepaskannya ke angkasa. Seketika muncullah hantu syaitan datang menyerang Geruda itu. Tahulah Geruda itu panah yang dilepaskan bernama Pusar Sempani Gembira. Lalu dikirai kiraikan dengan sayapnya dan menerkam ke arah angkatan Raja Rum dan menyambar tiga kapal kecil dan menghambat hantu syaitan. Manakala segala bedilan meriam dan panah yang datang ibarat hujan lebat sahajalah bila mengenai Geruda. Sedikit tidak memberi kesan. Geruda itu pun menempik dengan azamatnya hingga hilang sekelian hantu syaitan.

Marahlah Raja Merng Mahawangsa melihat hal yang sedemikian. Lalu dibalasnya dengan satu lagi anak panah dan munculah Jentayu menghambat Geruda itu. Maka berlawanlah keduanya menyambar dengan paruh, berkibar kibaran dengan sayapnya, terlalu amat dahanam gemuruh bunyinya. Terlalu hairanlah sekelian yang melihat. Maka disemburlah oleh Geruda dari mulutnya api yang bernyala nyala dan terbakarlah Jentayu lalu hilang. Hingga malam jualah pertarungan itu dan Geruda pun beredar kepenatan.

Setelah berhari hari berlalu, maka belayarlah mereka kembali hingga ke Kuala Murib. Setelah lama kelihatanlah Pulau Salang. Maka tinggalah angkatan Raja Merong Mahawangsa mengambil air, sedang angkatan anak Raja Rum terus menuju hingga ke Tanjung Hujung Salang dan akhirnya tiba di Pulau Langkapuri. Dan terlihatlah oleh Geruda kedatangan angkatan tersebut. Datanglah ia dengan ribut taufan menyerang angkatan tersebut. Habis karamlah segala kapal yang ada. Tiada satu kapal hatta yang kecil sekalipun yang tinggal. Gembiralah Geruda itu sangkanya pasti matilah anak si Raja Rum itu. Maka ia pun terbanglah menjauh.

Hatta angkatan Raja Merong Mahawangsa menurut angkatan Raja Rum jauh dari belakang. Terkejutlah baginda melihat keadaan rosak binasa itu. Lalu diselamatkan yang masih hidup. Di cari anak Raja Rum merata tiadalah berjumpa. Belayarlah baginda ke timur hingga sampai ke Pulau Jambul yang di diami kaum gergasi. Lalu dibinalah kota parit di situ. Dan di binalah istana dengan balainya yang terlalu amat besar indahnya dan diberi nama Langkasuka. Maka duduklah Raja Merong Mahawangsa di situ sambil mencari cari anak Raja Rum. Hingga mashyurlah baginda di situ, ramailah rakyat jelata berpindah ke situ dari bulan ke bulan tahun ke tahun memerintahlah baginda dengan adil dan saksama.

Tersebutlah kisah si anak Raja Rum itu, yang bergantung di atas papan yang sekeping. Tiada makan dan minum berhari hari lamanya hingga kurus kering tubuhnya hingga di hinggap kapang dan keritip di seluruh badannya. Di bawalah dia oleh ombak hingga jatuh di celah batu di pantai Pulau Langkapuri dengan letih lesu dan lapar dahaganya.

Tiadalah Geruda ketika itu kerana ia sedang mencari makan. Lalu turunlah Puteri Benua China bersama dayangnya ke tepi laut mencari ketam lalu terjumpalah dengan anak Raja Rum. Lalu jatuh kasihanlah si Puteri Benua China lalu di selamatkan anak Raja Rum itu dan disorokkan dia di dalam sebuah gua demi mengelak dari diketahui oleh Geruda. Hari demi hari bulan demi bulan di jaga baiklah anak Raja Rum oleh si Puteri bersama dayangnya, maka sihat segar kembali dia, setelah itu demi melihat sesama sendiri maka jatuh cintalah keduanya. Setelah diketahui latar belakang masing masing maka makin erat lagilah lakunya.

Pada suatu hari, maka terbanglah Geruda sampai mengaras awan menuju kepada tempat Nabi Allah Sulaiman.

“Hai burung Geruda, apa khabarnya janji yang telah engkau katakan. Dapatkah engkau melaksanakannya?” Sabda nabi Allah Sulaiman.

“Ya Nabi Allah sudalah hambamu ini kerjakan.” Sembah Geruda.

Lalu diceritakan kepada baginda perihal bagaimana ia menculik Puteri Benua China hingga ia bertarung dengan Raja Merong Mahawangsa dan akhirnya membunuh anak Raja Rum itu. Maka tertawalah Nabi Allah Sulaman mendengar cerita itu.

“Kalau kalau mereka masih hidup bagaimana?” tanya Nabi Allah Sulaiman.

“Jikalau hidup anak Raja Rum itu dan bertemu dengan Puteri Benua China, hamba akan mengotakan janji hamba. Tiadalah hamba berani berdusta kepada Nabi Allah.” Sembah Geruda.

Nabi Allah Sulaiman tersenyum mendengarnya. Lalu diperintahkan kepada raja jin Harman Shah supaya membawa kesemua mereka ke dalam sebuah peti untuk di bawa mengadap di hadapannya. Lalu berangkatlah Harman Shah bersama 100 menterinya melaksanakan perintah Nabi Allah Sulaiman. Di masukkan Puteri Benua China bersama dayangnya disertai dengan anak Raja Rum ke dalam peti lalu di bawa mengadap Baginda Nabi Allah Sulaiman.

Nabi Allah Sulaiman menurunkan perintah supaya keluarlah kesemua yang di dalam peti itu. Maka keluarlah kesemuanya sambil menundukkan kepala dan duduk menyembah kepada Nabi Allah Sulaiman.

“Hai Geruda, siapakah lelaki ini?” tanya Nabi Allah Sulaiman sambil menunjuk ke arah anak Raja Rum.

Maka dengan itu, gentarlah Geruda kepada Nabi Allah Sulaiman serta malunya ia tiada terperi lagi. Lalu bersabdalah nabi Allah Sulaiman,

“Hai segala raja raja dan menteriku bangsa yang baik baik, hendaklah engkau dan kamu sekelian ketahui demi tuhanku yang menjadikan aku dan kamu sekelian di dalam empat perkara itu janganlah sekali kali ditentukan, jikalau tiada dengan janji daripada tuhan sekelian alam.

Pertama rezeki, sedikit atau banyak pada sehari semalam itu tiadalah segala makhluk hendak tentukan, sekelian dengan janjiNya juga.

Kedua perkara yang memutuskan rezekinya, seperti yang akan datang mara atau maut , hendak itu pun tiadalah boleh seseorang jua pun daripada makhlukNya hendak mengetahuikan dia dan hendaklah jangan kamu tentukan bumi tempat kematiannya, melainkan kesudahannya dengan janji Allah jua.

Ketiga, perkara jodoh pertemuan sesuatu makhlukNya, jikalau berhimpun seisi alam dunia ini daripada segala bangsa yang di jadikan Allah taala, hendak menceraikan, tiada dapat menceraikan melainkan dengan kehendakNya jua.

Keempat, perkara penceraian yang sudah sampai waktu, saat harinya, tiada akan dapat hendak menantikan esok harinya, tiadalah boleh melainkan dengan sekelian itu pun dengan janjiNya jua.”

Lalu datang menyembahlah Geruda meminta keampunan kepada Nabi Allah Sulaiman. Dan diperintahkan oleh Baginda kepada Geruda supaya berpergian ke tempat yang jauh daripada manusia. Diperintahkan kepada Geruda utnuk menetap di laut yang bernama Kalzum yang tiada akan dihampiri manusia. Maka terbanglah ia ke situ.

Nabi Allah Sulaiman kemudiannya memerintahkan dibuat suatu surat di dalam bahasa cina menceritakan segalanya yang telah berlaku. Diperintahkan juga untuk menyampaikan berita kepada Raja Rum supaya dapat dipanggil kembali Raja Merong Mahawangsa. Sesudah itu nabi Allah memerintahkan raja jin Harman Shah supaya membawa seribu tentera menghantar kembali Puteri Benua China bersama tiga dayangnya dan anak Raja Rum ke Benua China untuk dikahwin sebaimana layaknya.

Sekian

Cerita asal sebanyak 24 m/s.
P/s : Indera, saya mahu baca Hikayat Raja Bersiung versi saudara pula ya?

Wednesday, November 22, 2006

Hikayat Merong Mahawangsa Bah 2

Versi ini saya petik dari kitab Hikayat Merong Mahawangsa milik saya. Ianya adalah versi RJ Wilkinson. Perlu diketahui, saya telah mengolah sedikit gaya bahasa demi untuk anda, pembaca mudah memahaminya walaupun sebenarnya ianya lebih sedap dibaca dalam konteks bahasa yang asal yakni gaya bahasa melayu lama. Dan saya ringkaskan cerita ini agar tidak meleret dan menimbulkan kebosanan kepada kalian. Selamat membaca!

Pada zaman dahulukala, yakni semasa zaman pemerintahan Nabi Allah Sulaiman, terdapat satu pulau yang dipanggil Pulau Langkapuri yang didiami oleh seekor Geruda yang asalnya dari cucu Maharaja Dewata. Banyaklah kesaktian yang terdapat pada burung Geruda ini dan digeruni setiap makhluk yang terbang dan melata di bumi. Maka pada suatu hari, datanglah seekor burung Rajawali menemui burung Geruda itu.

"Adakah tuan hamba beroleh khabar bahawasanya Raja Rum itu beroleh seorang anak laki laki? Sekarang ini ia hendak meminang anak Raja Benua China.” Kata burung Rajawali.

“Dari mana engkau memperolehi khabar ini?” soal Geruda.

“Hamba beroleh khabar ini daripada Kakaktua, dia yang melihat utusan dari Benua Rum menuju ke Benua China.” Jelas Rajawali.

“Ini sesuatu yang mustahil. Nantilah, aku mengadap Nabi Allah Sulaiman untuk membatalkan perkara ini.” Kata Geruda.

Maka terbanglah Geruda itu mengaras awan dan berasaplah seketika dunia ini. Dan sampailah ia di hadapan Nabi Allah Sulaiman.

“Ya Nabi Allah, hamba dengar khabarnya Raja Rum mahu menikahkan Puteranya dengan Puteri dari Benua China. Namun pada fikiran hamba ianya bukanlah jodoh yang sesuai.” Sembah Geruda.

“Hai Geruda, demi tuhan yang menjadikan aku, adapun jodoh pertemuan itu samaada di dalam batu atau kayu sekalipun, tiada siapa yang dapat menceraikkannya.” Sabda Nabi Allah Sulaiman.

“Ya Nabi Allah, izinkan sahaja hamba melakukannya. Sekiranya hamba gagal menceraikan keduanya, maka undurlah hamba daripada bawah lagit dan atas bumi daerah tempat kediaman segala manusia.” Sembah Geruda.

Maka dengan melihat kedegilan Geruda itu, Nabi Allah Sulaiman mengizinkan dan mempersetujui syarat yang Geruda sendiri utarakan. Setelah mendapat keizinan dari Baginda, terbanglah Geruda ke Benua China. Hatta setelah sekian lamanya ia terbang, maka sampailah ia ke Benua China dan dilihatnya segala persiapan dan nyata benarlah seperti yang di khabarkan kepadanya. Terlihat ia sang Puteri sedang duduk di taman, lalu disambarnya tuan puteri bersama dengan tiga orang dayang dan di bawa ke Pulau Langkapuri. Dan di simpan mereka di dalam sebuah mahligai.

Perihal Raja Rum, sedang itu baginda dihadapai oleh segala raja , menteri para pengawal, hulubalang, sida sida, bentara dan biduanda sekelian penuh sesak di balai paseban agung, bermesyuarat tentang penghantaran anak baginda ke Benua China untuk dikahwinkan. Dan diam di dalam kelompok raja raja yang hadir, sahabat baginda Raja Rum itu yang bernama Raja Merong Mahawangsa.

“Hai saudara hamba, hendaklah saudara pergi ke Benua China menggantikan hamba membawa Putera kita untuk dikahwinkan.” Titah Baginda Raja Rum.

“Baiklah tuanku, barang yang dititahkan itu, patik laksanakan tuanku.” Sembah Raja Merong Mahawangsa.

Maka belayarlah sekelian anak menteri, pengawal, hulubalang dan 40 anak raja raja di dalam satu bahtera yang besar. Sedang Raja Merong Mahawangsa di dalam satu bahtera yang lainnya. Bertaburanlah bahtera, kapal kapal dan perahu kecil hingga memenuhi laut menuju ke Benua China.

Setelah sekian lama mereka belayar, maka sampailah ke laut Kuala Changgung yang diperintah oleh seorang raja bernama Raja Kelinggi. Sedang belayar itu maka dengan tiba tiba gelaplah matahari. Datanglah kelam kabut ribut petir guruh dengan hebat dahsyat. Bagaikan sepohon angin rbut yang besar rupanya. Maka Raja Merong Mahawangsa pun segera menyiasat sambil memegang senjatanya.Terlihat olehnya yang datang itu bukanlah ribut taufan tetapi hanyalah seekor burung Geruda.

bersambung...

Tuesday, November 21, 2006

Laporan Rapat06

Woop! Woop! Tak tak, aku tak panggil Op. ha ha.


Malam sebelum gath. Aku tidur dengan lenanya. Aku tak pasti adakah mamat tu tidur dengan lena juga. Aku harap haraplah, pasal aku boleh meramalkan berapa decibel kekuatan gelak ku andai melihat mata merahnya esok. Semua persiapan telah di buat seminggu awal. Pagi gath aku sms pada Op, Esis dan Lanrambai.

"ooo ooo hari ni rapat06. Yeay yeay dude, aku on the way" sms aku pada pukul 7:40 pagi.

Hanya Op dan Lanrambai sahaja yang membalasnya :

"hehe cantik. eh awalnya kau. pukul 12 la oi." sms Op

"ko gila ke? baru kul 7 dah pegi? diablog dulu ke? diablog dah kensel tau tak?" sms Lanrambai
"aku on the way beli nasi lemak la ha ha ha" balas aku kepada mereka berdua ha ha ha.

Pagi itu berjalan seperti biasa. Pukul 9 adib tido. Pukul 10:14 Bukunota talipon.

"halo?" aku

"Kingbinjai?" bukunota

"ya ya siapa tu?"

"Bukunota sini. ko pegi gath tak?"

"pegi pegi"

"kau kene baca sajak"

"ha?! sajak apa?!"

"sajak santak tu la kau punya memang so kau kene baca"

"biar betul?!"

"betul"

Dan pagi yang indah itu bertukar menjadi sedikit mendung. Aku hampir hampir mengenselkan kedatangan aku, namun memandangkan aku dah bayo aku gagahi jualah! Queen tak habis habis mengenakan aku. ceh!

Pukul 1030 Adib terjaga sebab di kacau oleh sepupu dia. Terus kita orang siap siap. Pukul 12 bergerak. Takut jem. sekali sampai awal daaa. 12:20 aku dah sampai. Sesampai di Alamo Cafe, orang yang pertama aku nampak adalah Basri. Seminit kemudian Lanrambai dan Kemat pun tiba. Sekali hujan, nasib baik sekejap je.

Kak Ungku menyambut kedatangan kami seraya membawa Queen masuk ke dalam. Sementara aku, Lanrambai, Kemat dan Gitartong berborak di luar sekejap. Seketika ternampak Op. Mula mula aku ingat Op pakai tracksuit! Serius! Ha ha ha rupa rupanya seluar baju melayu.
Masuk ke dalam Cafe, Attochsmart sudah ada. Oh ya Attochsmart juga tiba sejurus aku dan Lanrambai tiba. Masuk je dalam cafe... fuyoooo!!! canggih! Exklusif wa cakap lu!

Gua tengah stim ni beb!

kemudian Samurai dan Ahsuez tiba. aku tak sangka Samurai ini pemalu orangnya. Pastu Awanputih datang. Pastu Sinaga naga pastu Tok Rimau dan seterusnya aku pun dah tak ingat.

Ooo ooo aku jumpa dengan Anne. Mahu saja aku tanya, "Anne, u pakai kasut baru ke?" tapi hajat tak kesampaian. Kerana, aku malu. Hohoho.


Ini kali pertama aku pergi gathering GJ ni so aku tak expect apa apa lah. Namun suasananya agak selesa bagi kami yang pertama kali menyertainya.

"Dude, sapa jadi mc tahun nie?" tanya aku pada Lanrambai, Gitartong dan Kemat.

"Ntah! Kau pernah pegi gath ke sebelum ni King?" Lanrambai.

"Tak pernah" aku

"Abis tu tanya macam pernah je?" Lan

"Laaa jgn la bocor rahsia buat buat macam pernah pegila!" aku

Hahaha yang lain gelak.

Sesudah zohor. Acara pun bermula. Para nara belum lagi tiba. Ini boleh mendatangkan marah nie! MC dipelopori oleh Rudy Bluhikari, fuhh class beb! Macam Aznil wa cakap lu!

Kemudian Op memberi Ucapan. Disusuli dengan Basri. Kemudian tibalah ke acara yang di annti nantikan...

Makan time!

Seketika sapa ntah mula bersuara kuat kuat. "Kingbinjai sapa Kingbinjai?" jerit dia sambil memandang keliling.

Aku angkat tangan "Oh kau rupanya. Nanti aku ambil sajak kau, tertinggal dalam kereta la"





Ooo ooo ini rupanya B
ukunota bisik hati aku. Tak sama seperti aku bayangkan. Aku dok bayangkan mamat ni mestilah muka serius, tangan kaki penuh bulu, dada pun. Berkumis tebel, memakai kaca mata hitam.

Acara bersambung. Nara Esis sudah tiba. Elmaaniq belum sampai sampai. Mahu je aku karate tengkuk dorang ni. Wachaa!! Sampai slot Cik Nana. Hati jadi sebak. Walaupun aku tak kenal dia namun kesedihan dalam kehilangan sahabat itu tetap dapat aku rasai. ND menyampaikan lagu kenangan terindah. Perghh!!! suara mamat ni! sampai menjilat jari!



Slot sindiket soljah paling kelaka ha ha ha. Persembahan gitartong jgn cakapla superb! Persembahan Matjan amat bertenaga. Persembahan aku la paling hancus! Aku cakap dah aku tak pandai! ha ha ha.

Aku ada menangkap beberapa gambar sekitar Rapat06. Silalah ke :

http://www.flickr.com/photos/88616861@N00/

http://www.flickr.com/photos/88616861@N00/show/

p/s : Bukunota, terima kasih kerana memenangkan aku. Aku pun tak sedar yang kau orang tak dengar suara aku. Aku rasa aku dengar clear je ha ha ha. Oh ya aku juga terkilan pasal Esis tidak membuat persembahan akrobatik ha ha. Kudeta? Ya ya kudeta memang bess. Setakat sampai hari ini aku dah khatam dua kali! Namun tak boleh lawan narayuda ha ha ha.

Saturday, November 18, 2006

Hikayat Merong Mahawangsa Bah 1

Saya amat tertarik dengan isen yang dipaparkan oleh saudara Indera, yang menceritakan perihal burung Geroda dan Jentayu seperti yang terdapat dalam Hikayat Merong Mahawangsa. Saya juga tertarik dengan persoalan yang Hakim Dirani timbulkan, iaitu, siapakah Raja Sulaiman? Adakah baginda adalah Nabi Allah Sulaiman atau hanya sekadar Raja biasa yang bernama Sulaiman? Soalan soalan ini menggerakkan hati saya untuk meneliti kitab Hikayat Merong Mahawangsa yang saya miliki bagi merujuk kembali perkara ini. Dan nah! Ternyata terdapat jawapan di dalamnya. Namun begitu saya agak terpempan bilamana membandingkan dengan kitab di tangan saya dan isen yang saudara Indera. Ternayata terdapat banyak perbezaan. Namun kita biarkan kelainan versi itu dahulu. Isen kali ini saya mahu paparkan serba sedikit tentang Hikayat Merong Mahawangsa dan siapakah Raja Sulaiman yang dimaksudkan di dalam versi Indera.

Pengenalan

Tidaklah diketahui secara tepat bilakah hikayat ini pertama kali ditulis. Kerana naskah naskah melayu jarang memuatkan sebarang maklumat yang penting itu walaupun dalam mukadimah maklumat terbabit ada menyatakannya.

Adalah pada suatu masa zaman Sultan Muazzam Shah ibnu Sultan Muzalfal Shah yang maha mulia kerajaan negeri Kedah, pada suatu waktu hari baginda keluar ke penghadapan...

Merujuk kepada mukadimah ini maka Winstedt telah mencadangkan hikayat ini tertulis sekitar tahun 1612. Namun para sejarawan Kedah telah membuat rekonstruksi susunan keturunan raja raja Kedah yang lengkap dengan tarikhnya. Berdasarkan ini Sultan Muazzam Shah telah memerintah Kedah antara tahun 1179-1236. Pun begitu sekitar tahun ini adalah agak awal untuk penulisan berkembang. Ini berdasarkan kepada Undang undang Pelabuhan yang telah tertulis pada 1035 Hijrah bersamaan 1625 dimana aktiviti penulisan agak pesat sekitar ini, yakni pada abad ke 17.

Hikayat Merong Mahawangsa amat berkait rapat dengan negeri Kedah kerana di situlah bermulanya Kerajaan Beraja ataupun Kesultanan Melayu.

Versi

Terdapat 3 versi yang saya ketahui untuk Hikayat Merong Mahwangsa. Iaitu :

1. Versi Rj Wilkinson
- versi ini adalah di dalam bentuk buku, bercap batu dalam tulisan Jawi. Ia terdiri daripada 113 halaman berukuran 13"x8.4".

- salanan versi ini telah di tulis oleh Muhammad Yusuf bin Nasruddin, di Pulau Pinang dan tamat disalin pada 2 Rejab, 1316 bersamaan 16 November 1898.

- cetakan batu ini dibuat oleh Kim Sik Hian Press, Nombor 78, Penang Street dan di salin serta diterbitkan atas kehendak RJ Wilkinson, Esquire Acting Inspectr of Schools, Strait Settlements.

- besar kemungkinan terbitan ini dibuat untuk kegunaan di sekolah sekolah dan merupakan salinan yang agak tersebar dan masih ada dalam simpanan beberapa ornag tertentu. Satu salinan yang sama tersimpan di Muzium negeri Kedah, di Alor Setar.

2. Versi Aj Sturrock
- Diterbitkan Di dalam bentuk JRASSB, nombor 72, Mei 1916.

- dicap dalam tulisan Rumi.

- tiada sebarang maklumat terperinci mengenainya.

3. Versi CO Balgden (Ms. Maxwell 21 dan 16)
- adalah salinan mikrofilem daripada naskah asal yang kini disimpan di perpustakaan Royal Asiatic Society di London.

- manuskrip ini adalah salah satu manuskrip yang dihadiahkan oleh W. Maxwell kepada Royal Asiatic Sciety, dan disebut sebagai Maxwell 16.

- hikayat ini ditulis di dalam tulisan Jawi, panjang 149 halaman dan tiada angka halaman.

- terdapat satu kesan tandatangan Maxwell dan catatan Singapore 1884 di dalam Maxwell 16.

- Maxwell 16 bertulisan Jawi dan sepanjang 207 halaman.

- pada halaman 207 terdapat maklumat tertentu. Kemungkinan tarikh akhir penyalinan adalah 2 September 1889 kerana Maxwell dikatakan telah memperolehinya semasa beliau berada di Semenanjung.

Terdapat perbezaan di antara ketiga tiga versi di atas. Dimana Versi Maxwell mempunyai perenggan. Pokok dasar cerita adalah sama namun dalam Versi Maxwell cerita ceritanya lebih panjang dan meleret. Perbezaan perbezaan yang terdapat di dalam ketiga tiga versi di atas merangkumi aspek :

1. kata daerah
2. ejaan tulisan jawi
3. perbezaan nama dan tempat

Saya rasa tidak perlulah saya terangkan lebih lanjut mengenainya. Namun suka saya paparkan sedikit petikan dari salinan Wilkinson dan Ms Maxwell 16 untuk kalian lihat perbezaannya.

Versi Wilkinson :
...Sebermula maka tersebutlah perkataan Pulau Langkapuri itu selama peninggal perang Seri Rama dan Andunan jadi sunyilah pulai itu tiada siapa siapa duduk...

Versi Ms Maxwell 16
... Alkisah maka tersebutlah perkataan segala perintahnya Pulau Langkapuri itu selamanya peninggalan pada tatkala perang Seri Rama dengan Handuman itu, jadi sunyilah Pulau Langkapuri itu, maka tiadalah siapa yang mendiami pulau itu.

Siapakah Raja Sulaiman?

Jika anda biasa membaca Hikayat ini, akan di dapati permulaan ceritanya akan bermula dengan Bismillah dan puji pujian kepada Allah dan Muhammad pesuruhNya. Didalam semua versi yang disebut di atas juga melakukan perkara yang sama.

Di dalam versi Indera ada menyebut tentang Raja Rom dan perkara ini juga sama di dalam versi di tangan saya (RJ Wilkinson). Sebelum saya meneruskan perlu diketahui bahawasanya kerajaan Nabi Allah Sulaiman berada bersama sekitar kerajaan Rom memerintah (sebagaimana yang saya periksa dengan Ustaz Hafiz).

Di dalam versi RJ Wilkinson, telah disebut :
... Bahawa pada ketika itu datanglah seekor burung geroda yang terlalu amat besarnya turun mengadap Nabi Allah Sulaiman, sembahnya "Ya Nabi Allah, hamba dengar warta Raja Rum ada menaruh seorang anak laki laki dan Raja China ada menaruh seorang anak perempuan.

.... Maka sabda Nabi Allah Sulaiman "hai burung geroda demi Tuhan yang menjadikan aku adapun jodo pertemuan itu di dalam batu atau di dalam kayu sekalipun tiada yang dapat menceraikan ia"

Dan juga kita maklum, bahawasanya hanya Nabi Allah Sulaiman sahaja yang mampu berbicara dengan binatang. Di dalam versi di tangan saya ada menyebut perihal Jin dan bagaimana Nabi Allah Sulaiman memberi perintah kepadanya dan dituruti tanpa ada persoalan.

Saya percaya sekiranya saudara Indera memanjangkan ceritanya akan terdapat perintah Raja Sulaiman menyuruh sepasukan Jin menghantar kembali Pagoda terbabit ke Negeri Cina.

Jadi berdasarkan faktor faktor ini, maka saya berpendapat Raja Sulaiman yang termaktub di dalam isen Indera dan di dalam kitab Hikayat Merong Mahawangsa milik saya merujuk kepada manusia yang sama.

Saya akan paparkan kisah ini nanti di dalam bahagian kedua. Tunggu ya!

Sekian.

Thursday, November 16, 2006

Aku Kena Tag

Sebagai menepati janji...

Ooo ooo saya kena tag! Tak di sangka sangka ya? Mulanya saya enggan menjawab tag ini, namun memandangkan orang yang mengtag saya ini (sampai 2 org, fuyooo!) adalah mereka yang saya hormati maka saya jawab jugalah. Terimalah persembahan saya. Semoga anda terhibur.

5 Benda atau Perkara yang saya lakukan jika saya seorang jutawan
1. langsaikan hutang
2. pergi haji dengan semua ahli keluarga
3. beli tanah dan bina rumah yang besar untuk muat saya sekeluarga dan mak dan abah
4. bisnes (kedai buku dan kedai barangan bayi dan kanak kanak)
5. masuk arena politik. Saya mahu jadi PM. Mahu lakukan lebih dari 5 perkara ini.

5 Tabiat buruk

1. Suka berangan-angan
2. hisap rokok
3. boros
4. lambat potong kuku kaki (tak nampakla)
5. ratah lauk

5 Perkara yang saya benci melakukannya
1. memandu kekita kesesakan lalu lintas
2. menyusahkan orang
3. bangun dari tidur
4. makan ubat
5. pergi klinik, melainkan jika dapat mc

5 Perkara yang tidak akan saya lakukan
1. syirik
2. minum arak
3. pergi disko
4. menyakiti isteri saya secara fizikal
5. menghisap rokok depan anak

5 Perkara yang saya menyesal melakukannya
1. tidak belajar rajin rajin
2. tidak menerima tawaran ke UK
3. tidak menerima tawaran menjadi tenaga pengajar di Ipoh
4. lambat menulis sajak
5. memakaigunakan kredit kad

5 Permata Hati Saya
1. mak dan abah
2. opah
3. queen
4. adib
5. kawan kawan

5 Tempat yang saya sukai
1. dalam bilik sendiri
2. kedai buku
3. depan pc saya
4. meja makan
5. luar rumah

5 Saat yang penuh bermakna
1. ketika akad nikah
2. malam pertama hooooooo
3. ketika dalam larbour room menyambut adib
4. ketika mengazankan adib
5. ketika saat pertama membaca karya sendiri dalam majalah tunas cipta

5 Benda/Perkara yang saya sukai
1. handphone
2. thumbdrive
3. kamera
4. porch
5. pc games

5 Perkara tentang diri saya
1. panas baran
2. sensitif
3. suka makan
4. suka movie
5. suka muzik

5 Orang yang paling saya sukai di dalam Blog
5 je ke? Maaf, saya suka semua!

5 benda/perkara sampingan yang perlu ada di rumah saya
1. surau
2. home theater
3. perpustakaan
4. peti ais 3 pintu
5. kucing

5 orang yang saya pilih untuk menyambung tag ini
para nara :
1. esis
2. elmaaniq
3. amanitium

Tokey kene takkan anak buah tak kena kan? kan? kan?

4. fiq : kerana lama dah tak update
5. blue cherry : saja nak test anda hohohoho

Selamat menjawab!

P/s : nanti kan isen terbaru saya, mengulas berkenaan Hikayat Merong Mahawangsa pada Ahad atau Isnin nanti, insyaAllah.

Wednesday, November 15, 2006

Kawan Seram

"Kau nak tengok hantu?" tanya Awie pada satu malam.

Waktu itu kami sama sama di dalam satu shift. Sepatutnya, bertiga malam itu. Tetapi Hairul cuti. Jadi berdua sahajalah. Pukul 2 pagi ada tugasan di Putrajaya. Kami perlu ke sana demi membenarkan dan memantau department Infrastructer menjalankan tugasnya, PM (Preventive Maintenance) aircond.

Seingat aku (ya perkara ini berlaku 2 tahun lepas), kami tiba awal malam itu. Kiranya pukul 2 pagi. Sunyi. Seperti biasa. Untuk makluman kau orang Putrajaya di antara tempat yang agak menyeramkan bagi kami waktu itu. Kami menunggu di luar bilik operasi. Membelakangi 2 biji kompresor aircond yang besar, Awie. Aku menghadap Awie dan 2 kompresor itu.

"Kau nak tengok hantu?" tanya Awie, setelah beberapa ketika rancak bercerita tentang kawan seram ini.

"Isk taknak la aku. Kau pernah tengok ke?" aku.

"Pernah." akui Awie.

"Macam mana?" tanya aku mula berminat.

"Macam ni. Kau cari satu cermin. Besar. Yang boleh nampak satu tubuh kau dari kepala sampai ke kaki. Pastu tanggal semua pakaian kau dan menari tanpa seurat benang pun di tubuh kau di hadapan cermin itu. Setelah seketika, dalam 5 minit ke 10 minit macam tu kau alihkan badan kau. Maksudnya lari dari cermin tu samada ke kiri atau ke kanan. Kau pakai baju kau, pastu kau jelinglah kat cermin tu. Kau akan nampak bayang kau masih menari." terang Awie panjang lebar.

Meremang bulu tengkuk aku (saat menulis ini pun) mendengarnya.

"Kau biar betul?" aku.

"Betul!" Awie. Cuba meyakinkan aku.
Kami terdiam seketika. Hanya cengkerik bersahut sahutan. Mungkin membincangkan kebenaran cerita Awie. Perasaan seram masih menyelubungi. Fikiran aku agak kacau cuba membayangkan bayang bayang aku menari dalam cermin tanpa aku berada di depannya. Isk...
Aku bukak porch. Keluarkan rokok. Awie pun sama. Aku letak puntung rokok di bibir. Aku nyalakan lighter. Awie pun. Saat ini dengan tidak semena semena,

KRTANG!!!

"Opocot mak kau!" aku.

"Cilaka!" Awie.

kami saling berpandangan. Bunyi yang keras itu amat mengejutkan kami berdua. Kami memandang ke arah benda yang mengeluarkan bunyi itu. Ya, Kompressor aircond yang besar itu, yang di luar bilik itu telah hidup. Dan memang ia mengeluarkan bunyi yang kuat. Aku pandang Awie. Awie pandang aku. Sesaat, kami berderai ketawa.

P/s : Kalau ada sesiapa yang baca cerita ini dan berani, cubalah. Dan khabarkan kepada aku.

Tuesday, November 14, 2006

Rapat

Ooo ooo tinggal 4 hari sahaja lagi untuk ke Rapat 06. Anda pergi? Tidak pergi? Mengapa tidak pergi? Kenapa? Sakit perut? Malu? Hilang akal? Ha ha ha.

Mana mana jalan (terjemahan dari Anyway), aku sedikit konpius. Jadi aku nak tanyalah kepada kalian yang pergi. Kau orang (dah tentu yang lelaki lah) pergi pakai baju apa ek? Sementelah temanya ialah Hari Raya, adakah kalian akan berbaju melayu?

Hah? Hah? Hah?

P/s : Cik (ke puan?) Bunga Rampai. Tag anda akan saya jawab setelah isen seram keluar ya?

Saturday, November 11, 2006

Dia Itu Cuba Memotongku

Kereta aku meluncur pada tahap sederhana merentas laluan dalam Dengkil. Sekali sekala kereta yang berada di belakangku cuba memotong. Namun hakikat kesempitan jalan menghalang niat beliau. Dan menjadikan aku tetap di hadapan. Laluan sempit Dengkil tiba di penghujungnya. Susur keluar ke Putrajaya. Luas dan Bebas. Dan kereta itu mula memotong ku, deras dan pantas.

Hafiz yang menumpang kereta aku sedang menikmati hidangannya, bila sebuah Wira berwarna hijau terang dengan nombr plat yang bermula dengan huruf Q memintas kami.

"Itu Bakhtiar kan?" Hafiz.

"Yeke? Bukanlah."

"Bukan Bakhtiar ke tu? Ke Baharom?" Hafiz.

"Bukan ke, Bakhtiar penolong En. Mat?" aku.

"Itu Basyar la!" Hafiz.

"Basyar? Basyar iwwal mungkar ke?" aku.

"Ha ha ha. Itu Fahsyar iwwal munkar la!" Hafiz.

"oooo." aku.

Dan Hafiz mula menyebut ayat tersebut dengan penuh berserta maknanya sekali. Dan juga maksud nama Basyar.

P/s : Maaf jika ejaan rumi itu mengandungi kesalahan. Dan maaf juga tidak sempat bertandang ke blog kalian. Akan ke sana saya nanti jika ada kelapangan.

Thursday, November 09, 2006

Bercerita

Wira ku menderu dalam kelajuan yang sederhana merentas lebuhraya Putrajaya. Hafiz yang bertindak sebagai co pilot sedang lena diulit mimpi. Sudah sampai kemana agaknya tu. Begitu jua dengan Kak Zedah. Entah kemana hala mimpi membawanya. Aku membiarkan fikiranku melayang bagi mengelak dari mengantuk. Dalam leka fikiran aku melayang itu tetiba tiba aku teringat satu cerita, spontan bibir mengukir senyum. Minda ku membaca semula cerita itu dengan lantang. Seketika, aku ketawa kecil...

* * *

Seorang pemandu teksi yang baru sahaja memulakan tugasnya pada hari pertama berlegar legar di sekitar bandaraya PJ mencari pelanggan. Alhamdulillah rezekinya murah. Seorang lelaki menahan teksinya dan sekaligus menjadi pelanggan pertamanya. Pintu di buka bila teksinya berhenti di sebelah.

"Bang, Jalan Duta ya." kata lelaki itu.

Pemandu teksi itu hanya mengangguk senyum. Rezeki pertama aku ni bisik hati kecilnya. Pemandu teksi itu menjalankan tugasnya, memandu teksinya ke Jalan Duta. Seketika, suasana menjadi sunyi, tiada patah patah perkataan berlegar memecah hening. Masing masing melayan perasaan. Teksi sudah melepasi Jalan Bangsar. Dan si penumpang secara tiba tiba menepuk si pemandu teksi dengan perlahan bagi tujuan memberitahu destinasi yang tepat. Siapa sangka, tepukan di bahu yang perlahan itu menyebabkan si pemandu tersentak amat dan menyebabkan teksi itu terhuyang hayang. Puas si pemandu cuba mengawal kenderaan. Dan puas jugalah si penumpang di belakang memaut ke sana kemari. Akhirnya si pemandu berjaya mengawal kenderaannya dan memberhentikannya di lorong kecemasan. Masing masing mengurut dada.

"Bang minta maaf ya, saya tak berniat nak mengejut kan abang." kata si penumpang. Ikhlas.

"Ya ya. Takpe. Saya pun minta maaflah pasal terkejut. Ni kali pertama saya bawak teksi ni." sahut si pemandu.

"Ooo" balas si penumpang.

Setelah memberitahu arah yang tepat, teksi beraksi kembali di jalanan. Si penumpang teringat kata kata si pemandu yang mengatakan ini kali pertamanya membawa teksi. Lalu dia pun bertanya,

"Bang, tanya sikit boleh?" si penumpang.

"Boleh boleh." pemandu.

"Tadi abang kata, ini kali pertama abang bawak teksi, err sebelum ni abang kerja apa?" penumpang

"Oh sebelum ni saya kerja sebagai pemandu van mayat." jawap si pemandu sambil tersengih.

Wednesday, November 08, 2006

Bercadang

Ya! Aku sedang berkira kira.

Perutusan Dari Malaya

(Ber)apakah pendapat(an) kalian?

Tuesday, November 07, 2006

Hampir Kosong


Tabung aku.

"Sob. Sob. Sob."

Kepada Satu Rindu

aku kepingin, kepada satu rindu
tinggi menjulang langit
megahnya hingga terbit burung burung hijau
mengerumuni sekitar arasy
megahnya, bagaikan mentari menghampari malam
untuk insan seperti aku
melunaskan dahaga kepada peluang
mencipta rindu kepadaNya

meskipun dunia itu
aku lepaskan pada setiap 5 waktu
bergolek kembali jua ke genggaman tangan
tuhan, kasihanilah aku
lembutkanlah telapak tangan yang berdoa
agar rela melepaskan dunia pada saat mati
sebagaimana rela dengan keras menggenggam ketika lahir

aku kepingin, di sepanjang usia ku
sebuah rindu tiada penghujung
yang menghias atma
untuk ku persembahkan kepadaMu
saat nama ku dipanggil bergema di seluruh alam.

P/s : Disebabkan ada masalah di opis aku, isen "Toyota Itu Cuba Memotongku" terpaksa ditangguhkan keluarannya. Ia akan disiarkan di blog ini pada sabtu 11/11/06. Harap Maklum.

Saturday, November 04, 2006

Membaca

Membaca itu jambatan ilmu. Betul? Betullah tu.

Mendidik anak biarlah dari rebung. Betul? Betullah tu.

















"Adib suka baca zine NaraYuda ini. Ianya merangsang pertumbuhan gigi Adib. Selain itu ianya juga amat merangsang minda Adib. Kerana, ianya kaya dengan DHA dan rendah lemak. Selain tiada kolestrol, ianya disuling secara 4 peringkat.


Ingat! Papa pesan mesti dapat nombor satu!"

Friday, November 03, 2006

Propeller Berpusing - Bah 3

Iklan keranamu Malaysia

Iklan ini, tidak keluar di kaca tv. Tetapi hanya terbit di corong corong radio sahaja. Ianya bukanlah boleh ditarifkan sebagai iklan sepenuhnya. Tetapi ianya sebuag lagu yang bertajuk "Keranamu Malaysia" yang menjadi moto hari kemerdekaan kita dan tidak pernah di tukar sejak 5 tahun dulu. Cuba perhatikan ayat tersebut. Atau cuba dengar lirik lagu tersebut :

Keranamu kami mendakap tuah
Keranamu kami bangsa berjaya
Keranamu kami hidup selesa
Limpah budi kemakmuran negara

Bahayanya ayat di atas, kita menyebut berulang ulang, keranamu kita bebas merdeka. Keranamu itu merujuk kepada siapa? Kalau kita tukar situasi :

Keranamu aku bisa berdiri megah – keranamu itu merujuk kepada siapa? Mesti ada merujuk kepada seseorang atau sesuatu.

Kalaulah ayat penuh lagu tersebut sebegini : keranamu Malaysia kita bebas merdeka, kan menjadi satu kesalahan di sini, Mana mungkin Malaysia yang memerdekan kita? Sesuatu perkara yang terjadi itu dalam urusan Allah, seharusnya ayat tersebut patut menjadi begini : KeranaMu kita bebas merdeka. Baru betul. Dan kita pun menjadi pak turut menyebut berulang ulang tanpa fikir perkara yang boleh meletakkan kita sebagai syirik. Na’uzubillah!

Berhati hatilah, banyak dalam kehidupan seharian kita, kita menyebut sesuatu yang boleh menyesatkan. Dulu ingat tak? Lagu Pada Syurga Di Wajahmu. Ingat tak? Berhati hatilah muslimin dan muslimat betapa besar fitnah di akhir zaman!

Thursday, November 02, 2006

Perlahan.


Return Of The Jedi...












P/s : Masih dalam mood raya. Takde mood nak berisen beria ia.

Wednesday, November 01, 2006

Berkata

"Kebebasan tanpa batasan bukanlah satu kehidupan. Sebaliknya satu kehancuran yang menyeluruh."
- kingbinjai.