Saturday, November 25, 2006

Hikayat Merong Mahawangsa Bah 3

Adapun si Geruda setelah dipastikan angkatan dibawahnya itu adalah dari kerajaan Rum maka menjadi amat marahlah ia lalu ia datang menyambar. Raja Merong Mahawangsa menarik busur anak panahnya yang bernama Ayun Ayunan itu ke udara. Bergemuruhlah bunyinya bagai halilintar membelah angkasa. Maka segala jenis meriam di atas bahtera jua habis di halakan kepada Geruda, namun sedikit tidak memberi apa kepadanya. Lalu Geruda membalasnya dengan mendatangkan guruh, hujan, angin, ribut dari sebelah selatan menghala ke utara. Demi melihat kesaktian Geruda, Raja Merong Mahawangsa mengambil panahnya yang bernama Ayun Ayunan yang hujungnya merah seperti api dan dilepaskan ke arah ribut yang mendatang. Lalu terpaculah gunung menahan ribut yang diterbitkan oleh Geruda itu. Larilah burung Geruda itu setelah berjaya merosak 3 buah bahtera, saat itu malam pun tiba.

Keesokan harinya, setelah dipastikan tiada kehadiran Geruda itu, maka belayarlah bahtera yang tinggal hingga sampai ke Kuala Tawai. Dengan tiada semena mena muncullah Geruda itu dengan ribut dan taufan, kilat sabung menyabung. Maka Raja Merong Mahawangsa pun mengambil panahnya yang bernama Berana Pura itu, bernyala nyala api dihujungnya dan dilepaskan ke udara. Maka bergemuruhlah bunyi menerbangkan segala hujan, ribut dan taufan. Dan terlihat Geruda sudah membinasakan 3 lagi bahtera di dalam kelam kabut itu. Dan segeralah Raja Merong Mahawangsa itu memanah sekali lagi menggunakan Berana Pura itu. Maka bergemuruhlah angkasa dibelah anak panah yang menuju ke arah Geruda. Demi dilihat oleh Geruda, maka ia pun mengibaskan sayapnya maka jatuhlah anak panah itu ke dalam laut. Lalu dengan pantas ia menyerang hingga rosak binasa enam buah bahtera lagi. Dan larilah Geruda itu setelah diamati sukarnya membinasakan seluruh angkatan Raja Rum itu.

Maka belayarlah semula angkatan kerajaan Rum itu hingga tiba ke laut Kuala Parit. Setiba di situ, datanglah Geruda itu sekali lagi menyerang. Dan seballah hati Raja Merong Mahawangsa. Lalu dicapai panahnya yang bernama Pusar Sempani Gembira dan dilepaskannya ke angkasa. Seketika muncullah hantu syaitan datang menyerang Geruda itu. Tahulah Geruda itu panah yang dilepaskan bernama Pusar Sempani Gembira. Lalu dikirai kiraikan dengan sayapnya dan menerkam ke arah angkatan Raja Rum dan menyambar tiga kapal kecil dan menghambat hantu syaitan. Manakala segala bedilan meriam dan panah yang datang ibarat hujan lebat sahajalah bila mengenai Geruda. Sedikit tidak memberi kesan. Geruda itu pun menempik dengan azamatnya hingga hilang sekelian hantu syaitan.

Marahlah Raja Merng Mahawangsa melihat hal yang sedemikian. Lalu dibalasnya dengan satu lagi anak panah dan munculah Jentayu menghambat Geruda itu. Maka berlawanlah keduanya menyambar dengan paruh, berkibar kibaran dengan sayapnya, terlalu amat dahanam gemuruh bunyinya. Terlalu hairanlah sekelian yang melihat. Maka disemburlah oleh Geruda dari mulutnya api yang bernyala nyala dan terbakarlah Jentayu lalu hilang. Hingga malam jualah pertarungan itu dan Geruda pun beredar kepenatan.

Setelah berhari hari berlalu, maka belayarlah mereka kembali hingga ke Kuala Murib. Setelah lama kelihatanlah Pulau Salang. Maka tinggalah angkatan Raja Merong Mahawangsa mengambil air, sedang angkatan anak Raja Rum terus menuju hingga ke Tanjung Hujung Salang dan akhirnya tiba di Pulau Langkapuri. Dan terlihatlah oleh Geruda kedatangan angkatan tersebut. Datanglah ia dengan ribut taufan menyerang angkatan tersebut. Habis karamlah segala kapal yang ada. Tiada satu kapal hatta yang kecil sekalipun yang tinggal. Gembiralah Geruda itu sangkanya pasti matilah anak si Raja Rum itu. Maka ia pun terbanglah menjauh.

Hatta angkatan Raja Merong Mahawangsa menurut angkatan Raja Rum jauh dari belakang. Terkejutlah baginda melihat keadaan rosak binasa itu. Lalu diselamatkan yang masih hidup. Di cari anak Raja Rum merata tiadalah berjumpa. Belayarlah baginda ke timur hingga sampai ke Pulau Jambul yang di diami kaum gergasi. Lalu dibinalah kota parit di situ. Dan di binalah istana dengan balainya yang terlalu amat besar indahnya dan diberi nama Langkasuka. Maka duduklah Raja Merong Mahawangsa di situ sambil mencari cari anak Raja Rum. Hingga mashyurlah baginda di situ, ramailah rakyat jelata berpindah ke situ dari bulan ke bulan tahun ke tahun memerintahlah baginda dengan adil dan saksama.

Tersebutlah kisah si anak Raja Rum itu, yang bergantung di atas papan yang sekeping. Tiada makan dan minum berhari hari lamanya hingga kurus kering tubuhnya hingga di hinggap kapang dan keritip di seluruh badannya. Di bawalah dia oleh ombak hingga jatuh di celah batu di pantai Pulau Langkapuri dengan letih lesu dan lapar dahaganya.

Tiadalah Geruda ketika itu kerana ia sedang mencari makan. Lalu turunlah Puteri Benua China bersama dayangnya ke tepi laut mencari ketam lalu terjumpalah dengan anak Raja Rum. Lalu jatuh kasihanlah si Puteri Benua China lalu di selamatkan anak Raja Rum itu dan disorokkan dia di dalam sebuah gua demi mengelak dari diketahui oleh Geruda. Hari demi hari bulan demi bulan di jaga baiklah anak Raja Rum oleh si Puteri bersama dayangnya, maka sihat segar kembali dia, setelah itu demi melihat sesama sendiri maka jatuh cintalah keduanya. Setelah diketahui latar belakang masing masing maka makin erat lagilah lakunya.

Pada suatu hari, maka terbanglah Geruda sampai mengaras awan menuju kepada tempat Nabi Allah Sulaiman.

“Hai burung Geruda, apa khabarnya janji yang telah engkau katakan. Dapatkah engkau melaksanakannya?” Sabda nabi Allah Sulaiman.

“Ya Nabi Allah sudalah hambamu ini kerjakan.” Sembah Geruda.

Lalu diceritakan kepada baginda perihal bagaimana ia menculik Puteri Benua China hingga ia bertarung dengan Raja Merong Mahawangsa dan akhirnya membunuh anak Raja Rum itu. Maka tertawalah Nabi Allah Sulaman mendengar cerita itu.

“Kalau kalau mereka masih hidup bagaimana?” tanya Nabi Allah Sulaiman.

“Jikalau hidup anak Raja Rum itu dan bertemu dengan Puteri Benua China, hamba akan mengotakan janji hamba. Tiadalah hamba berani berdusta kepada Nabi Allah.” Sembah Geruda.

Nabi Allah Sulaiman tersenyum mendengarnya. Lalu diperintahkan kepada raja jin Harman Shah supaya membawa kesemua mereka ke dalam sebuah peti untuk di bawa mengadap di hadapannya. Lalu berangkatlah Harman Shah bersama 100 menterinya melaksanakan perintah Nabi Allah Sulaiman. Di masukkan Puteri Benua China bersama dayangnya disertai dengan anak Raja Rum ke dalam peti lalu di bawa mengadap Baginda Nabi Allah Sulaiman.

Nabi Allah Sulaiman menurunkan perintah supaya keluarlah kesemua yang di dalam peti itu. Maka keluarlah kesemuanya sambil menundukkan kepala dan duduk menyembah kepada Nabi Allah Sulaiman.

“Hai Geruda, siapakah lelaki ini?” tanya Nabi Allah Sulaiman sambil menunjuk ke arah anak Raja Rum.

Maka dengan itu, gentarlah Geruda kepada Nabi Allah Sulaiman serta malunya ia tiada terperi lagi. Lalu bersabdalah nabi Allah Sulaiman,

“Hai segala raja raja dan menteriku bangsa yang baik baik, hendaklah engkau dan kamu sekelian ketahui demi tuhanku yang menjadikan aku dan kamu sekelian di dalam empat perkara itu janganlah sekali kali ditentukan, jikalau tiada dengan janji daripada tuhan sekelian alam.

Pertama rezeki, sedikit atau banyak pada sehari semalam itu tiadalah segala makhluk hendak tentukan, sekelian dengan janjiNya juga.

Kedua perkara yang memutuskan rezekinya, seperti yang akan datang mara atau maut , hendak itu pun tiadalah boleh seseorang jua pun daripada makhlukNya hendak mengetahuikan dia dan hendaklah jangan kamu tentukan bumi tempat kematiannya, melainkan kesudahannya dengan janji Allah jua.

Ketiga, perkara jodoh pertemuan sesuatu makhlukNya, jikalau berhimpun seisi alam dunia ini daripada segala bangsa yang di jadikan Allah taala, hendak menceraikan, tiada dapat menceraikan melainkan dengan kehendakNya jua.

Keempat, perkara penceraian yang sudah sampai waktu, saat harinya, tiada akan dapat hendak menantikan esok harinya, tiadalah boleh melainkan dengan sekelian itu pun dengan janjiNya jua.”

Lalu datang menyembahlah Geruda meminta keampunan kepada Nabi Allah Sulaiman. Dan diperintahkan oleh Baginda kepada Geruda supaya berpergian ke tempat yang jauh daripada manusia. Diperintahkan kepada Geruda utnuk menetap di laut yang bernama Kalzum yang tiada akan dihampiri manusia. Maka terbanglah ia ke situ.

Nabi Allah Sulaiman kemudiannya memerintahkan dibuat suatu surat di dalam bahasa cina menceritakan segalanya yang telah berlaku. Diperintahkan juga untuk menyampaikan berita kepada Raja Rum supaya dapat dipanggil kembali Raja Merong Mahawangsa. Sesudah itu nabi Allah memerintahkan raja jin Harman Shah supaya membawa seribu tentera menghantar kembali Puteri Benua China bersama tiga dayangnya dan anak Raja Rum ke Benua China untuk dikahwin sebaimana layaknya.

Sekian

Cerita asal sebanyak 24 m/s.
P/s : Indera, saya mahu baca Hikayat Raja Bersiung versi saudara pula ya?

1 Bangsawan Menatang Sembah:

Sikenit Comel-AminBakish said...

panjangnya king... penat membaca..kena slow2...
eh, cantik rumah baru.. :)