Wednesday, November 22, 2006

Hikayat Merong Mahawangsa Bah 2

Versi ini saya petik dari kitab Hikayat Merong Mahawangsa milik saya. Ianya adalah versi RJ Wilkinson. Perlu diketahui, saya telah mengolah sedikit gaya bahasa demi untuk anda, pembaca mudah memahaminya walaupun sebenarnya ianya lebih sedap dibaca dalam konteks bahasa yang asal yakni gaya bahasa melayu lama. Dan saya ringkaskan cerita ini agar tidak meleret dan menimbulkan kebosanan kepada kalian. Selamat membaca!

Pada zaman dahulukala, yakni semasa zaman pemerintahan Nabi Allah Sulaiman, terdapat satu pulau yang dipanggil Pulau Langkapuri yang didiami oleh seekor Geruda yang asalnya dari cucu Maharaja Dewata. Banyaklah kesaktian yang terdapat pada burung Geruda ini dan digeruni setiap makhluk yang terbang dan melata di bumi. Maka pada suatu hari, datanglah seekor burung Rajawali menemui burung Geruda itu.

"Adakah tuan hamba beroleh khabar bahawasanya Raja Rum itu beroleh seorang anak laki laki? Sekarang ini ia hendak meminang anak Raja Benua China.” Kata burung Rajawali.

“Dari mana engkau memperolehi khabar ini?” soal Geruda.

“Hamba beroleh khabar ini daripada Kakaktua, dia yang melihat utusan dari Benua Rum menuju ke Benua China.” Jelas Rajawali.

“Ini sesuatu yang mustahil. Nantilah, aku mengadap Nabi Allah Sulaiman untuk membatalkan perkara ini.” Kata Geruda.

Maka terbanglah Geruda itu mengaras awan dan berasaplah seketika dunia ini. Dan sampailah ia di hadapan Nabi Allah Sulaiman.

“Ya Nabi Allah, hamba dengar khabarnya Raja Rum mahu menikahkan Puteranya dengan Puteri dari Benua China. Namun pada fikiran hamba ianya bukanlah jodoh yang sesuai.” Sembah Geruda.

“Hai Geruda, demi tuhan yang menjadikan aku, adapun jodoh pertemuan itu samaada di dalam batu atau kayu sekalipun, tiada siapa yang dapat menceraikkannya.” Sabda Nabi Allah Sulaiman.

“Ya Nabi Allah, izinkan sahaja hamba melakukannya. Sekiranya hamba gagal menceraikan keduanya, maka undurlah hamba daripada bawah lagit dan atas bumi daerah tempat kediaman segala manusia.” Sembah Geruda.

Maka dengan melihat kedegilan Geruda itu, Nabi Allah Sulaiman mengizinkan dan mempersetujui syarat yang Geruda sendiri utarakan. Setelah mendapat keizinan dari Baginda, terbanglah Geruda ke Benua China. Hatta setelah sekian lamanya ia terbang, maka sampailah ia ke Benua China dan dilihatnya segala persiapan dan nyata benarlah seperti yang di khabarkan kepadanya. Terlihat ia sang Puteri sedang duduk di taman, lalu disambarnya tuan puteri bersama dengan tiga orang dayang dan di bawa ke Pulau Langkapuri. Dan di simpan mereka di dalam sebuah mahligai.

Perihal Raja Rum, sedang itu baginda dihadapai oleh segala raja , menteri para pengawal, hulubalang, sida sida, bentara dan biduanda sekelian penuh sesak di balai paseban agung, bermesyuarat tentang penghantaran anak baginda ke Benua China untuk dikahwinkan. Dan diam di dalam kelompok raja raja yang hadir, sahabat baginda Raja Rum itu yang bernama Raja Merong Mahawangsa.

“Hai saudara hamba, hendaklah saudara pergi ke Benua China menggantikan hamba membawa Putera kita untuk dikahwinkan.” Titah Baginda Raja Rum.

“Baiklah tuanku, barang yang dititahkan itu, patik laksanakan tuanku.” Sembah Raja Merong Mahawangsa.

Maka belayarlah sekelian anak menteri, pengawal, hulubalang dan 40 anak raja raja di dalam satu bahtera yang besar. Sedang Raja Merong Mahawangsa di dalam satu bahtera yang lainnya. Bertaburanlah bahtera, kapal kapal dan perahu kecil hingga memenuhi laut menuju ke Benua China.

Setelah sekian lama mereka belayar, maka sampailah ke laut Kuala Changgung yang diperintah oleh seorang raja bernama Raja Kelinggi. Sedang belayar itu maka dengan tiba tiba gelaplah matahari. Datanglah kelam kabut ribut petir guruh dengan hebat dahsyat. Bagaikan sepohon angin rbut yang besar rupanya. Maka Raja Merong Mahawangsa pun segera menyiasat sambil memegang senjatanya.Terlihat olehnya yang datang itu bukanlah ribut taufan tetapi hanyalah seekor burung Geruda.

bersambung...

0 Bangsawan Menatang Sembah: